SEPANG: Susulan ketiadaan perlumbaan Formula One (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula tahun depan, litar itu tidak akan dibiarkan terabai dan menjadi projek “gajah putih” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Litar Sepang akan dimanfaatkan sepenuhnya dan ia tidak akan menjadi projek gajah putih, banyak aktiviti akan diadakan di situ," katanya pada sidang media di Pusat Media SIC di sini, Ahad. Perdana menteri dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berada di litar ini untuk menyaksikan final perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia Petronas 2017. "Saya datang untuk menonton final perlumbaan F1 yang diadakan di Litar Sepang dengan diruntun perasaan sentimental, kita telah menganjurkan acara ini selama 19 tahun. "Kita telah menyaksikan acara hebat dan mengujakan ini selama 19 tahun. Kita telah berjaya meletakkan Malaysia dalam peta dunia dengan penganjuran perlumbaan F1. Saya tahu Petronas telah berjaya memahatkan penglibatannya dalam F1, dan juga jenamanya sebagai syarikat minyak negara dan multinasional," kata Najib. Najib mengambil perhatian bahawa kerajaan dan menerusi promoter perlumbaan, SIC, kini dalam proses menyusun cara lain untuk diadakan di Litar Sepang. "Kami akan membangunkan acara permotoran bentuk lain di negara, kami mahu melihat penyertaan lebih banyak rakyat Malaysia. Saya fikir itu yang peminat Malaysia mahu lihat… penyertaan pemandu-pemandu Malaysia," katanya. Pada 7 April, Najib dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa Malaysia tidak akan lagi menjadi tuan rumah perlumbaan F1 tahun depan selepas kerajaan bersetuju untuk menamatkan kontrak penganjurannya. Kontrak itu terpaksa ditamatkan berikutan penurunan ketara hasil pulangan kepada negara berbanding dengan kos penganjurannya. “Ia tidak bermakna penganjuran F1 tidak boleh dipertimbangkan di masa depan, dengan syarat keadaan ekonomi adalah baik," kata Najib. –Bernama