PETALING JAYA: Portal pekerjaan dalam negara, Jobsifu.com telah menutup laman Facebooknya susulan dikecam netizen kerana gagal mengendalikan Expo Kerjaya Terbesar Zon Utara 2017 di Alor Setar, Kedah pada Sabtu. Josifu.com bertindak sebagai penganjur ekpo kerjaya yang berlangsung selama dua hari sejak Sabtu. Carian di Internet pada Ahad mendapati akses ke laman Facebook Jobsifu.com Malaysia gagal. "Maaf, carian anda tidak tersedia pada ketika ini," demikian ditulis dalam paparan carian di Facebook. Menerusi carian di Internet, iklan mengenai expo tersebut dipromosikan dalam laman Facebook Jobsifu.com selaku penganjur pada Ogos lalu. Malah, iklan expo tersebut turut menggunakan gambar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia, Datuk Norsabrina Mohd Noor menafikan kerajaan Kedah terlibat dengan penganjuran dan penajaan ekspo tersebut. Norsabrina dalam kenyataannya berkatam, program berkenaan adalah anjuran penuh pihak swasta tanpa sebarang campur tangan dari kerajaan negeri dan penganjuran bebas. "Saya akui menteri besar bagi pihak kerajaan negeri turut menerima jemputan untuk hadir ke program berkenaan, namun beliau memutuskan untuk tidak hadir atas alasan tertentu. "Saya juga difahamkan berlaku sedikit kekecohan membabitkan yuran yang dikenakan oleh pihak penganjur namun sehingga kini saya belum menerima makluman rasmi mengenainya," katanya. Pada masa sama Norsabrina turut meluahkan rasa kesal dengan insiden yang berlaku. "Sebagai mewakili kerajaan negeri saya kesal dengan apa yang berlaku dan berharap pihak penganjur supaya lebih sensitif dan bertanggungjawab dengan isu-isu berkaitan supaya ia tidak mendatangkan masalah dan menimbulkan kemarahan mana-mana pihak khususnya kepada individu yang menjadi kumpulan sasar program ini," katanya. Usaha mStar Online untuk mendapatkan reaksi balas jobsifu.com masih belum berhasil kerana panggilan tidak dijawab.