PETALING JAYA: Pada usia seawal 15 tahun, Elizabeth Elida Edwards, mangsa yang terselamat dalam insiden kebakaran melalui fasa gelap dan mengerikan dalam hidupnya. Dia hanya berusia dua tahun sewaktu kebakaran itu berlaku. Pada ketika itu, dia tidak mampu mengingati apa yang terjadi dalam peristiwa yang turut meragut nyawa dua adik-beradiknya, 13 tahun lalu. Walaupun sudah lama berlalu, peristiwa itu masih lagi memberi kesan kepada dirinya. Peristiwa itu menyebabkan Elizabeth terlantar di hospital lebih enam bulan. Sejak itu, dia sering keluar masuk hospital di Sarawak, Kelantan dan juga Seoul sepanjang hidupnya. Tangannya mengalami kecacatan kekal disebabkan kebakaran itu.Dia masih boleh berjalan namun kaki kirinya tempang dan sering kali sakit menyebabkan dia serik untuk ke sekolah. "Dia mengalami kesan lecur di seluruh kulit badan. Doktor terpaksa mengambil kulit kepala untuk menggantikan kulit pada tubuh badannya," kata ibunya, M.Murni J.Muteh, 42. Murni berkata, sewaktu mereka berpindah ke Kelantan untuk menyambung sesi rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, rakan sekelas tadika Elizabeth amat takut melihat keadaannya. Elizabeth hanya ada dua orang kawan tetapi mereka sudah lama terputus hubungan. Pasukan perubatan di Hospital Universiti Hallym Hangang Sacred Heart melakukan pembedahan ke atas kaki kiri Elizabeth. "Sewaktu kecil dulu, dia akan memakai topeng setiap kali keluar. Orang selalu keliru dengan jantina Elizabeth, jadi saya panggil dia Girl sehingga nama itu melekat sehingga hari ini," kata Murni. Kini, setelah hampir dua bulan menerima rawatan secara percuma di Seoul, Korea di bawah Hallym Burn Foundation, perubahan sedikit demi sedikit jelas kelihatan. Walaupun sering kepenatan, Elizabeth kini semakin mudah untuk bergerak. "Saya kembali ke sekolah pertengahan September lalu untuk menduduki peperiksaan PT3 tidak lama lagi. Saya teruja untuk ke sekolah dan membuat persediaan PT3. "Saya suka pergi ke sekolah, tapi saya tak ada ramai kawan," kata Elizabeth. Dia yang meminati subjek matematik dijadualkan akan menduduki peperiksaan PT3 pada 9 Oktober ini. Pelajar tingkatan tiga SMK Wira Penrissen, Kuching yang bercita-cita untuk menjadi peguam atau penulis novel itu mahu hidup dengan gembira setiap hari. Katanya, dia amat menggemari bidang seni, mendengar lagu pop dan menyertai pertandingan bercerita di sekolah."Saya suka menulis cerita pendek dan membaca cerita dalam talian," ujarnya. Dia juga mengimpikan untuk memiliki sebuah komputer riba bagi menyimpan semua cerita kegemarannya. Ujar Elizabeth lagi, dia suka menulis cerita berbentuk fiksyen dan aksi. Namun, kisah hidupnya yang terselamat dari kebakaran pada usia dua tahun dan kembali menjalani kehidupan normal pada usia 15 tahun pastinya lebih menarik untuk dibaca.