PETALING JAYA: Seorang lelaki meraih perhatian selepas mempersoalkan adakah lebuh raya di negara ini kini dilabel sebagai ‘lebuh raya kosmetik’. “Dik abang nak tanya dik, kenapa lebuh raya penuh dengan iklan kosmetik dik? Buruk sangat ke muka kami yang pakai highway ni dik? “Iklan biasanya ditempatkan di lokasi sasaran, maka kami adalah sasaran penguna setiap hari. Abang tanya je, jangan kecam pulak,” katanya di laman sosial pada Ahad. Kenyataan tersebut mengundang pelbagai reaksi termasuk pandangan yang memberikan hujah masing-masing. 'Posting' Azizul di laman sosial mengenai lambakan papan iklan kosmetik di lebuh raya. Seorang netizen membalas: “Bukan buruk tapi pengguna lebuh raya perasan dia buruk.” “Pastu semua nak claim (dakwa) nombor satu di Malaysia,” kata seorang netizen yang merujuk kepada segelintir iklan yang menjadikan ia sebagai pelaris. “Bisnes kosmetik tengah trending sekarang ni, sebab tu ramai yang nak jadi pengasas produk,” kata seorang lagi netizen. Bagaimanapun pemilik akaun Facebook tersebut, Dr Azizul Azli Ahmad, 40, berkata, kenyataan yang dibuat adalah mewakili pandangan ‘alter ego’ dengan nada bergurau. Sebaliknya, perunding kewangan dan hartanah itu cuba menyampaikan maksud yang tersirat mengenai lambakan papan iklan produk kosmetik di sepanjang lebuh raya. “Iklan kosmetik terlalu banyak, sehingga saya rasa ia berlebihan di lebuh raya. Sekejap-sekejap ada iklan, dengan jarak antara 500 meter dan satu kilometer. “Selain lambakan, kebanyakan iklan berkenaan juga tidak berkualiti dari segi grafik dan penggunaan tagline yang merendahkan pemikiran pengguna,” katanya kepada mStar Online pada Isnin. Antara komen netizen mengenai 'lebuh raya kosmetik'. Hanya kerana mahu tampil cantik, Azizul mendedahkan bahawa seorang pelanggannya sanggup membuat pinjaman peribadi sehingga puluhan ribu ringgit semata-mata untuk membiayai kos rawatan kecantikan. Azizul yang juga pensyarah kanan di Fakuliti Senibina, Perancangan dan Ukur di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Perak berharap terdapat garis panduan dalam pemilihan iklan bersesuaian dan tahap keselamatan pemasangannya di lebuh raya. Dalam pada itu, beliau meminta semua pengusaha produk kosmetik termasuk ejen dan pengedar supaya tidak melatah dengan kenyataannya yang tersirat itu. “Mohon semua 'read between the lines' sebab saya beri pandangan untuk kebaikan bersama, tapi dibuat secara santai. “Saya faham lambakan iklan ini sebab adanya permintaan, tetapi perlulah ada sikap bertanggungjawab terhadap produk yang ingin dipasarkan,” katanya.