suria

Kes TLDM: Mohon Maaf Sebelum Meninggal

Muhammad Lailatulman Mohd Sukri.

PASIR MAS: Pada malam sebelum meninggal dunia, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Muhammad Lailatulman Mohd Sukri ada menghubungi ibu bapanya untuk memohon maaf.

Bapanya, Mohd Sukri Salleh, 52, berkata suara Muhammad Lailatulman kedengaran amat sedih.

"Dia memohan maaf atas kesilapannya dan meminta mereka agar menjaga anak perempuannya.

"Saya menangis kerana sebak mendengar suaranya," kata Mohd Sukri ketika ditemui dirumahnya dekat Kampung Bagus, Rantau Panjang.

Menurut laporan Sinar Harian, Sukri berkata dia tidak menyangka itu adalah perbualan terakhirnya bersama Muhammad Lailatulman, 26, yang meninggal dunia di Bilik Tahanan, Sungai Wangi dekat Sitiawan, Perak pada Jumaat lalu.

Bernama turut melaporkan pengebumian Muhammad Lailatulman dijalankan mengikut istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam di Rantau Panjang pada Ahad.

Muhammad Lailatulman meninggalkan isteri Nur Liya Asmira Yahya, 24, dan seorang anak perempuan berusia empat bulan.

Jenayahnya dikebumikan kira-kira pukul 9.30 pagi sebaik tiba di Kampung Bagus dekat sini pada pukul 6.30 pagi dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Bercakap kepada pemberita, Nur Liya berkata dia mahu menuntut keadilan sebelum menitiskan air matanya.

Di Ipoh, tiga anggota TLDM direman selama tujuh hari mulai Ahad bagi membantu siasatan kematian dua anggota TLDM di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan di sini, Jumaat lepas.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nur Shaqira Ibrahim mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Terdahulu, ketiga-tiga lelaki berusia 29, 37 dan 44 tahun yang memakai baju lokap itu, tiba di perkarangan Mahkamah Majistret di sini dengan menaiki lori polis kira-kira 8.45 pagi.

Artikel Lain