SHAH ALAM: Perbicaraan hari kedua membabitkan dua wanita yang dituduh terlibat dalam pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam (gambar) terus menarik perhatian media tempatan dan antarabangsa. Wakil daripada lebih 10 media antarabangsa termasuk Korea Selatan, Korea Utara, Indonesia dan Jepun yang mendaftarkan diri di kaunter khas di kompleks mahkamah di sini berada dalam perhatian ketat pihak polis. Media tempatan turut berada di mahkamah tersebut seawal pukul 7.30 pagi untuk mendaftarkan diri. Dua tertuduh warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, tiba di perkarangan mahkamah pada pukul 7.50 pagi menaiki satu daripada lima kenderaan polis yang dikawal rapi oleh pasukan yang lengkap dengan pakaian kalis peluru. Kawalan keselamatan di premis tersebut cukup ketat. Siti Aisyah dan Doan dituduh dengan empat yang lain berikutan kes kematian Jong-nam di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada pukul 9 pagi, 13 Februari lalu. Pada 28 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Azmi Ariffin menetapkan tempoh 23 haru untuk perbicaraan sehingga 30 November ini. - Bernama