suria

Jenazah 'Iron Lady' Selamat Dikebumi

Jenazah Datuk Dr Maznah Hamid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, kira-kira 5.45 petang Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Jenazah usahawan terkenal, Datuk Dr Maznah Hamid yang meninggal dunia semalam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Raudhatul Sakinah,Taman Selasih di sini, Khamis.

Jenazah dikebumikan pada pukul 5.45 petang dengan kehadiran anggota keluarga, saudara-mara serta rakan-rakan terdekat.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Darul Ehsan, Ampang, di sini selepas solat Asar.

Allahyarham meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada 6 petang Rabu setelah mengalami komplikasi susulan pembedahan jantung pada 28 Sept lepas.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce yang juga dikenali sebagai 'Iron Lady' itu menjalani pembedahan jantung selepas dua saluran pada injap jantungnya tersumbat.

Sementara itu anak Maznah, Shahril Reza Shaheen, 36, berkata ibunya merupakan seorang yang penyayang dan sangat rapat dengan keluarga terutamanya cucu-cucu beliau.

Katanya, antara pesanan terakhir Allahyarham termasuk anak-anak kekal rapat dan sentiasa menghormati sesama mereka.

"Mak memang mahu kita anak-anak supaya dapat mengekalkan hubungan kekeluargaan sedia ada sampai bila-bila," katanya di sini.

Tambahnya, beliau dan adik beradik lain berazam akan terus mempekukuhkan legasi perniagaan yang ditinggalkan ibunya itu.

"Alhamdulillah kami adik beradik dari kecil telah diajar ibu tentang bagaimana menguruskan syarikat, ada sahaja tunjuk ajar yang diberikan.

"Insya-Allah, kami adik beradik berjanji akan meneruskan bidang perniagaan yang telah ditinggalkan arwah ibu," katanya yang telah berkhidmat di syarikat itu lebih 10 tahun. - Bernama

Maznah Hamid, Iron Lady

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain