SIBU: Dua lelaki mati ditembak penyerang tunggal di sebuah kafe di Lorong Pahlawan 7A2 di sini kira-kira pukul 12.15 tengah hari Khamis. Mangsa adalah seorang lelaki berusia 47 tahun dari Jalan Tekam di sini dan lelaki 21 tahun dari Song, Kapit. Serangan berlaku ketika mereka sedang minum bersama seorang rakan wanita, difahamkan seorang warga China, di laluan pejalan kaki kafe berkenaan. Penyerang terbabit, yang memakai topi keledar dan berjaket merah, menghampiri mereka bertiga, mengeluarkan sepucuk senjata api dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa dari jarak kira-kira lima meter. Lelaki itu yang kemudiannya melarikan diri dengan sebuah motosikal yang diletak berhampiran, dipercayai menggunakan sepucuk pistol berdasarkan kelongsong peluru yang dijumpai di tempat kejadian. Ketika mengesahkan perkara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Amer Awal berkata, sebuah pasukan petugas khas diwujudkan untuk menyiasat kes pembunuhan itu. “Buat masa ini, terlalu awal untuk kami mendedahkan perkembangan terkini berhubung siasatan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan. Amer meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan, dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh.