suria

Hukuman Gantung Gara-Gara Bunuh Adik

SHAH ALAM: Berikutan tidak berpuas hati dengan pembahagian harta, seorang lelaki tergamak menetak adik kandungnya dengan parang sebanyak 33 kali sehingga maut dan perbuatannya itu mendapat pembalasan apabila Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.

Hakim Datuk Zulkifli Bakar menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari berjaya membuktikan kes tanpa keraguan yang munasabah.M. Nageswaran, 41, didakwa membunuh Gunalan, 37, di rumah mangsa di Kampung Jawa di sini, kira-kira 5.30 petang, pada 5 Mei 2015 dan pertuduhan adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati punca kematiannya adalah disebabkan pendarahan yang banyak akibat luka tetak berganda.

Seramai 15 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Dalam penghakimannya, Zulkifli berkata setelah meneliti hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak dan keterangan dalam perbicaraan secara keseluruhan, mahkamah mendapati pembelaan tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata.

Dalam pembelaannya, tertuduh telah menuduh saksi ke-10 pendakwaan iaitu isteri mangsa V.Malliga, yang telah membunuh mangsa.

"Setelah mempertimbangkan semua aspek dalam keterangan saksi-saksi, mahkamah dapati keterangan pembelaan tertuduh juga bersifat afterthought (difikirkan semula) serta tidak wajar diterima oleh mahkamah.

Sehubungan itu hanya satu hukuman sahaja diperuntukkan di bawah seksyen ini (302 Kanun Keseksaan) iaitu tertuduh dihukum gantung sampai mati,” katanya.

Tertuduh yang diwakili peguam S. Ravichandran turut menghadapi satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini iaitu cuba membunuh Malliga, 41, dengan menikamnya menggunakan sebilah parang, antara 5.30 petang hingga 5.45 petang, di tempat dan tarikh sama.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding mahkamah berakhir, Malliga berkata keadilan akhirnya ditegakkan selepas lebih dua tahun mengikuti perbicaraan kes pembunuhan suaminya.

“Saya tidak sangka dia (tertuduh) tergamak membunuh adik sendiri hanya disebabkan masalah harta. Orang yang buat salah mesti kena gantung,” katanya dalam tangisan.- Bernama

Bunuh Adik

Artikel Sebelum

Tragedi Mesin 'Snow Wash'

Artikel Berikut

Artikel Lain