suria

Mangsa Muram Sejak Dua Bulan Lepas

Lokasi sepasang suami isteri bersama dua anak mereka ditemui mati di dalam kediaman dua tingkat di Rini Residence, Mutiara Rini pada Jumaat. fotoBERNAMA

JOHOR BAHRU: Jiran pasangan suami isteri dan dua anak yang ditemui mati di dalam rumah mereka di Jalan Utama 41, Rini Residence, Mutiara Rini, di sini, Jumaat, menyifatkan suami berkenaan muram sejak dua bulan lepas.

C. Kumar, 46, seorang juruteknik di Singapura berkata, R. Pubalan dilihat pendiam dan mereka juga tidak bertegur sapa sejak dua bulan  lepas.

”Mereka tinggal di sini sejak Disember lepas manakala isterinya difahamkan sudah empat tahun terlantar sakit dan menjalani rawatan hemodialisis," katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Kumar, yang tinggal bersebelahan rumah keluarga itu sejak Mac lepas,  berkata beliau terkejut mendengar berita kematian mereka sekeluarga kerana mereka menjalani rutin harian seperti biasa.

"Saya ada nampak Pubalan keluar membeli sarapan pada 9 pagi tadi dan anaknya juga bermain bola di luar rumah.

"Saya dan isteri kemudian keluar membeli barang dan pulang ke rumah pada  sekitar 1.30 tengah hari lalu terkejut apabila menyedari orang mula ramai di perkarangan rumah kerana menemui mayat mereka," katanya yang mempunyai lima orang anak.

Kumar berkata beliau bersedih atas kejadian itu kerana kedua-dua anak jirannya itu sering datang ke rumah bermain dengan anak-anaknya.

Dalam kejadian hari ini, Pubalan, 52,  ditemui mati tergantung dalam sebuah bilik di tingkat atas rumahnya manakala anak lelakinya P. Sharveen, 14 dan anak perempuan P.Krishna, 9, ditemui mati dengan kesan jerutan di leher dalam sebuah bilik lain.

Isterinya P.Jeya, 46, yang menjalani hemodialisis pula ditemui di atas katil berhampiran berhampiran ruang tamu rumah berkenaan, namun tiada sebarang kesan ditemui pada tubuh.

Polis menerima laporan kejadian pada 2.30 petang dan menyiasat kes itu sebagai bunuh serta mati mengejut. - BERNAMA

kematian, empat beranak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain