suria

Dua Maut Ketika Cari Kerang

KUNAK: Dua orang termasuk seorang wanita warga asing maut akibat lemas semasa mencari kerang bersama lima lagi rakan mereka di kawasan bakau berdekatan Borneo Resort Farm dekat sini, petang Sabtu.

Mereka dikenali sebagai Haslinda Abidin dan Rolly Enning.

Kedua-duanya berumur 25 tahun.

Ketua Polis Daerah Kunak, Supt Mohd Nasaruddin M Nasir berkata semasa kejadian kedua-dua mangsa bersama lima pekerja kilang sawit warga asing berumur antara 22 sehingga 37 tahun itu pergi ke kawasan bakau pada kira-kira 5.30 petang untuk mencari kerang apabila air laut tiba-tiba pasang.

"Kesemua mereka tidak sedar air pasang dengan cepat sehingga ke paras pinggang dan ketika mereka cuba menyelamatkan diri, arus air semakin kuat dan menghanyutkan dua daripada mereka," katanya  dalam kenyataan di sini, Ahad.

Nasaruddin berkata Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ketika itu membuat kawalan keselamatan mendengar jeritan mangsa meminta tolong sebelum bergegas menyelamatkan mangsa.

"Ketika itu, lima mangsa lelaki diselamatkan, seorang wanita 25 tahun meninggal dunia akibat  lemas manakala seorang lelaki hilang," katanya.

Mereka yang terselamat dikenali sebagai Asdar Dahari, 22; Amran Haddise, 37; Rudy Hartono Bade, 25;  Haryadi Amir,36; serta Frende Martin, 27.

Menurut Nasaruddin mangsa yang hilang ditemui mati lemas kira-kira 10.20 malam Sabtu oleh pasukan mencari  dalam kalangan keluarganya sebelum dibawa ke hospital," katanya. - BERNAMA 

maut, kerang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain