suria

Kena Cekik VIP

BAYANGKAN - kau perlu bangun tidur seawal pukul 4 pagi untuk bersiap-siap ke tempat kerja. Kau perlu sampai ke tempat kerja sebelum kedua-dua jarum jam terletak sebaris menunjuk angka enam dan 12.

Memanng rancangan sentiasa nak bangun pukul empat pagi, tapi yang selalunya terjadi, lewat.

Pukul 5.20 pagi aku sudah bersedia meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja. Jadi kadang-kadang memang tak sempat nak makan dulu.

Kalau bernasib baik ada baki makanan malam tadi, bolehlah diperhangat sekejap dan makan sebelum keluar rumah. Yang selalunya, tidak ada.

Jadi berlaparlah kami sementara menunggu waktu rehat pagi pada pukul sembilan. Disebabkan itu, waktu rehat pagi adalah keramat. Keramat kerana kelaparan amat.

Di hangar, memang ada disediakan tempat pekerja duduk dan makan. Tapi aku lebih selesa makan di bilik locker. Ia terletak lebih dekat dengan tempat kerja berbanding kawasan rehat khusus yang disediakan itu jauh. Malas nak berjalan.

Tepat pukul sembilan pagi, aku sudah sedia duduk di bilik locker menikmati epal.

Kenapa epal? Sebab aku telah didiagnos ada masalah darah tinggi. Oleh itu, setiap kali sarapan aku hanya makan sebiji atau dua epal merah.

Tapi itu cerita tahun lepas. Alhamdulillah aku sekarang bebas daripada penyakit darah tinggi. Tak perlu lagi makan ubat. Dan yang penting, ia disahkan oleh doktor yang merawat aku dulu.

Tapi itulah, macam aku cakap, itu cerita tahun lepas. Tahun ini aku tak lagi amalkan kawalan pemakanan macam itu dan sudah mula rasa lain macam. Cepat sakit kepala dan sakit tengkuk.

Jadi, duduklah aku di bilik locker sambil menikmati sarapan.

“Mr Iqbal,” tegur satu suara dari tepi. Tanpa menoleh pun aku tahu siapa yang empunya suara itu. Siapa lagi kalau bukan si VIP Kaiffe yang aku ceritakan minggu sudah itulah.

Dengan keadaan mulut penuh dengan epal, aku hanya memandang dan menganggukkan kepala tanda aku sahut teguran dia.

“Aku dengar kau mencari rumah sewa?” tanya Kaiffe sambil melabuhkan punggungnya di sebelah aku. Dia terpaksa menunggu lama sedikit sebelum aku menjawab pertanyaan itu kerana aku sedang nikmat mengunyah.

“Ada juga,” kata aku setelah selesai menelan epal.

“Tapi itulah, sewa mahal. Studio apartment pun sudah 2,800 riyal, itu tanpa perabot. Kalau ada perabot mahal lagi harga sewanya.

“Itulah,” jawab Kaiffe sambil membetulkan cermin matanya.

Senarionya macam itulah, kalau mahu duduk seorang kena telan kepahitan harga sewa yang mahal. Nak lagi murah kena sewa bilik sahaja. Jika berbuat begitu, maka kau berkongsi rumah dengan mereka yang kau tak kenal.

Cara paling mudah ialah berkongsi dengan kawan-kawan, lima ke enam orang satu rumah. Ini pun jimat juga.

“Tapi aku dah dapat rumah, harga sewa 4,000 riyal. Apa kata kau duduk sekali dengan aku?” cadang Kaiffe.

“Kat mana rumahnya?” tanya aku.

“Matar Qadeem. Rumah ada dua bilik, dah siap perabot. Kalau kita berdua seorang 2,000 riyal. OK tak?” usul Kaiffe.

Oh, menarik juga. Kalau satu rumah hanya dua orang, maka seorang satu bilik. Memang mengujakan. Dan di Matar Qadeem pula!

Tapi masih harga sewa 2,000 riyal. Aku kalau boleh mahu kurang daripada itu. Memang senget otak fikir tentang rumah.

“Tapi…” teragak aku hendak meneruskan kata.

“Tapi apa?” tanya Kaiffe.

“Kau busuk,” kata aku.

“Cis! Apa kau ingat kau orang Malaysia kau wangi ke?” bentak Kaiffe.

“Eh? Aku tak kata begitu. Orang Malaysia pun busuk. Yang wangi aku seorang je,” jawab aku sambil tersengih.

Dan, itulah hari pertama dalam hidup aku kena cekik dengan orang Pakistan. VIP pula tu.


Kaiffe, Matar Qadeem

Artikel Sebelum

Pulanglah Nur Arina Aisyah

Artikel Lain