suria

Biarpun Hanya ‘Pak Guard’, Tapi Mampu...

Kisah seorang pengawal keselamatan 'ditugaskan' untuk membeli barang dapur. Foto Facebook Syed Azmi

PETALING JAYA: Hampir pukul 1 pagi, tetapi hatinya nekad untuk pergi ke sebuah pasar raya di Damansara walaupun waktu operasi bakal melabuhkan tirai.

Keputusan itu membawa kepada pertemuan semula tanpa dirancang dengan seorang pengawal keselamatan warga asing yang membantu mengangkat barangnya sebelum ini.

Masih berpakaian seragam, pengawal itu kelihatan terasing tetapi niatnya hanya satu, iaitu mahu membeli barang keperluan untuk memasak di rumah.

Dengan sebelah tangan menjinjing bakul, pengawal itu memulakan kisahnya yang tinggal bersama sembilan rakan serumah yang juga bertugas sebagai pengawal di lokasi berbeza.

“Dia beritahu terdapat pengurangan harga untuk sebahagian barang. Sambil tunjuk katalog, katanya dia ditugaskan untuk membeli barang murah.

“Macam suri rumah ya, saya bergurau. Tapi katanya itulah panggilan yang diberikan kepadanya,” demikian ‘posting’ seorang aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi di laman sosial Facebook pada Khamis, sehingga menjadi tular. 

Pengawal keselamatan juga seperti insan lain.

Bukan simpati, tetapi lebih kepada mahu membalas budi, Syed Azmi tampil menawarkan untuk membayar barang yang dibeli pengawal itu.

Tanpa menuturkan sebarang kata, lelaki itu hanya memandang juruwang di kaunter. 

“Bagilah abang ni bayar,” kata juruwang, dan pengawal itu hanya mampu tersenyum sebelum mengucapkan terima kasih tanda menerima pelawaan tersebut.

Bercakap kepada mStar Online, Syed Azmi berkata, tabiatnya membeli barang pada waktu lewat begitu kerana mahu meninjau corak pembelian masyarakat ketika itu.

Menyifatkan budaya bertanya khabar semakin terhakis dalam masyarakat hari ini, katanya, ada yang ‘terlepas pandang’ hanya kerana seseorang itu bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Syed Azmi tidak menafikan persepsi tersebut mungkin disebabkan masyarakat hari ini sering disogokkan dengan berita negatif mengenai golongan itu.

Jika tidak bertegur sapa, katanya, persepsi masyarakat hanya melihat pengawal keselamatan sekadar insan yang bertembung setiap hari tanpa ada keperluan.

“Biarlah mula-mula tu kita ada tanggapan yang kurang enak, tapi kalau kita ringan mulut bertanya khabar, barulah kita akan tahu siapa mereka.

“Masa tu barulah kita sedar mereka dan kita adalah sama saja. Hari tu saya melalui hari yang sangat panjang dan biarpun hanya ‘pak guard’, tapi kisahnya yang menarik mampu menggembirakan saya,” ujar Syed Azmi.

Artikel Berikut

Dua Polis Maut Dirempuh Lori

Artikel Lain