suria

Penawar Batuk Di Tanah Suci

ASSALAMUALAIKUM. Ketika menulis artikel ini, saya baru 10 hari kembali dari Tanah Suci Makkah dan Madinah. Alhamdulillah, dapat menunaikan ibadat haji selain menggalas tanggungjawab sebagai petugas haji bagi musim haji 1438 Hijrah.

Segala puji bagi Allah SWT, ketika di Tanah Suci, saya sihat dan tidak pula mengalami batuk yang boleh disifatkan seperti satu kebiasaan di kalangan jemaah umrah mahupun haji. Batuk boleh didengar ketika solat, sewaktu tidur, di dewan makan, di bazar atau di mana-mana saja.

Cuaca panas, berdebu dan jutaan manusia antara faktor penyumbang kepada batuk. Sukar dielakkan apatah lagi jika teman sebilik ada yang batuk. Ada yang batuk berkahak dan tidak berkahak, yang sekalli gus menyebabkan perut terasa sakit.

Batuk yang berpanjangan menjadikan jemaah terasa resah kerana sedikit sebanyak boleh menjejaskan ibadat apatah lagi setiap kali batuk, terkeluar angin atau terkencing. Keadaan ini sukar dielakkan dan adakala menimbulkan simpati pada yang mendengar serta memerhati.

Jemaah haji yang turut menyempurnakan rukun Islam kelima baru-baru ini tidak terlepas daripada batuk. Sejak di Makkah sehinggalah di Madinah. Berbotol-botol ubat dimakan dan ditelan tetapi batuk masih kedengaran.

Segala jenis minyak digosok dan disapu tetapi kadangkala tidak kebah juga batuk. Ada yang mengesyorkan makan ubat yang diambil kerana mujarab tetapi tidak pula serasi apabila mengambilnya.

Hakikatnya, ubat yang diambil jemaah A mungkin tidak sesuai untuk jemaah B. Bagaimanapun, usah putus asa, ambil ubat disyorkan dan jika tidak sembuh, ambil lagi ubat lain. Cuma pandangan saya pada jemaah, jika batuk di Tanah Suci, beli saja ubat di farmasi yang boleh ditemui di hotel penginapan atau dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan.

Harganya memang mahal tetapi selalunya ia mujarab dan berkesan untuk membantu mengatasi masalah dihidapi, insha Allah. Nyatakan masalah anda kepada ahli farmasi dan mereka bersedia membantu memberi nasihat ubat yang sesuai untuk diambil.

Ada yang batuk setelah beberapa hari berada di Makkah tetapi paling ramai yang tidak sihat dan batuk setelah selesai wukuf dan menyempurnakan kewajipan melontar ketiga-tiga jamrah.

Saya juga tidak enak badan sekembali ke hotel penginapan Zewar Mashaer di Aziziyah selepas bermabit di Muzdalifah. Sejurus tiba setiap jemaah diberi masa untuk membersihkan diri dan berkumpul semula di lobi hotel pada jam 1.30 pagi untuk menyempurnakan lontaran pertama di Jamrah Aqabah.

Namun, saya tidak mampu memaksa mata dan badan untuk bergerak bersama-sama jemaah lain. 

Ketua operasi haji, Haji Masrol Apandi menghubungi saya dan saya katakan kepadanya tidak larat kerana badan seperti hendak demam dan selesema.

Saya tidak mahu memaksa diri kerana bimbang ia boleh menjejaskan kesihatan. Justeru, mengambil keputusan untuk berehat sepenuhnya hingga Subuh dan keluar melontar bersama-sama sekumpulan jemaah lain yang juga memilih melontar pada sebelah pagi, iaitu selepas bersarapan.

Alhamdulillah, sebelum Subuh saya tersedar dan membersihkan diri untuk bersolat dan seterusnya bersarapan. Badan terasa segar kerana ubat selesema yang diambil iaitu Zyrtec membantu melegakan keadaan.

Selesai sarapan, saya berjalan ke tempat melontar bersama-sama sekumpulan kecil jemaah dan pulang semula ke hotel penginapan kira-kira satu jam selepas itu.

Di sini, saya ingin berpesan, usah sekali-kali memaksa diri jika terlalu letih dan tidak larat. Berehat seketika sebelum meneruskan langkah dan menggalas tugas seterusnya.

Tidak kiralah sama ada sebagai jemaah umrah atau haji, berikan perhatian terhadap setiap yang anda makan dan minum. Kesihatan perlu dijaga rapi untuk memastikan ibadat berjalan lancar,pastikan mengambil buah-buah dan sayur-sayuran setiap hari.

Biarpun hidangan kadangkala kurang menyelerakan dan tidak memenuhi citarasa, pastikan anda bersarapan, makan tengah hari dan malam.

Tidak dinafikan segelintir jemaah tidak lalu makan kerana tubuh tidak sihat, tekak terasa perit dan sakit kepala tetapi ingatlah semakin dilayan tubuh yang lemah, semakin teruk keadaan anda.

Justeru, makan walaupun sedikit dan jangan lupa minum banyak air, terutama air zamzam dan jus yang tidak bergula. Pilih jus jenama Caesar yang tidak mengandungi gula dan perasa tiruan.

Ada jemaah bertanya apa yang saya makan sebab tidak batuk dan nampak sihat. Saya katakan kepada mereka, saya makan nanas setiap pagi selain buah zaitun berwarna hijau dan merah gelap serta sayur-sayuran.

InsyaAllah, amalan mengambil makanan berkenaan menyebabkan tubuh terasa sihat. Bukan mudah memperoleh nanas mentah pada kunjungan baru-baru ini tetapi pada setiap pagi terhidang nanas (di dalam tin) yang sudah ditapis air gulanya di meja bufet berserta buah-buahan lain.

Justeru, setiap pagi saya mengambil beberapa potong nanas, pic dan sayur-sayuran sebelum menikmati roti, mi atau kacang pool. Sesekali saya minum air panas yang dicampur perahan lemon. Saya lihat sebahagian besar jemaah mencampurkan air panas perahan lemon dengan madu tetapi saya tidak berbuat demikian kerana khuatir madu dicampur dengan gula.

Ketika batuk, anda tidak digalakkan mengambil minuman bersusu kerana ia menggalakkan kahak. Jadi, elak atau kurangkan.

Jika tekak sudah mula terasa tidak enak, minum air lebih banyak. Mudah-mudahan ini membantu melegakan tekak. Saya juga mengesyorkan jemaah mengambil asam jawa yang kadangkala ada dijual di kedai kurma dan makanan kering.

Asam jawa berbentuk bulat umpama makjun itu sangat sedap rasanya. Ia tidak bercampur dengan gula dan harganya SR50 sekilogram. Jika anda penggemar asam, elok diambil begitu saja tetapi jika tidak tahan dengan rasa masam, campurkan dengan air mineral.

Namun apapun, yang menyembuhkan hanya Allah. Kita hanya boleh berusaha menjaga dan mengekalkan kesihatan agar segala ibadat serta perjalanan ibadat berjalan lancar selain tidak lupa memanjatkan doa kehadrat Maha Esa.

InsyaAllah bersambung minggu depan.

Aziziyah, Zewar Mashaer

Artikel Sebelum

Artikel Berikut