PETALING JAYA: Kisahnya pernah tular menerusi video kejutan yang dibuat terhadap ibunya dengan pemberian hadiah hari lahir berupa gelang emas. Video tersebut mengundang emosi bagi mereka yang menonton kerana bukan saja si ibu, malah pemuda berkenaan turut tidak dapat menahan sebak sehingga menitiskan air mata. Terbaru, jejaka kacak dan berbadan sasa ini memuat naik sebuah video di laman sosial yang menunjukkan dirinya sekali lagi berlinangan air mata. Namun kali ini dia berperwatakan 'ganas' sebagai kaki pukul yang mana gadis yang dicintainya menjadi mangsa balas dendam di atas perbuatannya sendiri. Muhamad Amin Azlan, 26, mendedahkan ia sebenarnya adalah adegan dalam video muzik lagu penyanyi Riz Zaizizi bertajuk ‘Sempurnakan Aku dan Dia’ dua tahun lalu. Katanya, dia menjiwai watak sebagai model video muzik berkenaan, digandingkan bersama dengan Bella Astilah yang kini isteri kepada penyanyi Aliff Aziz. “Perkongsian video ini sekadar mengimbas kenangan lama selain mahu menonjolkan lagi bakat saya berlakon dalam video muzik dan iklan komersial. “Nampak saja saya ni keras tapi saya sebenarnya emosi orangnya, lagipun kaki pukul tu sekadar memenuhi watak dalam video yang dirakamkan dua tahun lalu,” katanya kepada mStar Online. ARTIKEL BERKAITAN: “Tinggal RM24 Dalam Akaun, Tapi Kerana Mak...” Walaupun nampak 'ganas' dan berbadan sasa, Amin mengakui dirinya sensitif. Selain video muzik, Amin juga pernah berlakon dalam beberapa iklan komersial sebelum ini, termasuk dua lagi yang bakal ditayangkan di televisyen tidak lama lagi. Amin turut mendedahkan dia sebelum ini adalah kawan rapat Bella yang dikenalinya selama 10 tahun sejak sebelum rakannya itu berkahwin dengan Aliff. “Ya, kami pernah berkawan rapat, tapi tu cerita dulu... sebelum dia kahwin,” katanya. Amin akan mempertimbangkan tawaran yang tidak menganggu tugasnya sebagai pemandu ambulans. Mengenai tawaran, Amin memberitahu dia lebih memilih untuk berlakon dalam video muzik dan iklan komersial berikutan kesibukannya bekerja sebagai pemandu ambulans. “Saya ni bukan cerewet, tapi saya memang sibuk dengan kerja jadi tak boleh terlalu lama untuk berlakon drama. Saya pula jenis susah nak hafal skrip,” katanya. Walaupun berjiwa sensitif, Amin menjelaskan bahawa bukan mudah untuk dia memegang watak yang beremosi apatah lagi perlu menitiskan air mata. Namun pemuda yang mengagumi lakonan Rosyam Nor dan Brad Pitt ini mempunyai cara tersendiri untuk menghayati watak beremosi. “Sensitif tu saya sebenar, tapi bukan dalam lakonan. Tapi tip saya mudah saja, kalau nak beremosi kena dengar lagu sedih dari Korea atau teringatkan ibu,” ujar Amin.