suria

Malaysia Bina Hospital Medan Di Kem Pelarian Rohingya

Ahmad Zahid menghampiri kanak-kanak Rohingya yang berteduh di khemah ketika melawat penempatan pelarian Rohingya di Kem Kutupalong pada Isnin. Foto Bernama

COX'S BAZAR (Bangladesh): Malaysia akan membina hospital medan bernilai RM3.5 juta di kem pelarian yang menempatkan etnik Rohingya di sini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata, Kor Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membina hospital itu yang di peringkat awal boleh memuatkan kira-kira 50 orang pesakit dengan adanya 50 katil di hospital berkenaan.

"Kami telah pun mendapatkan kebenaran daripada Perdana Menteri Bangladesh sendiri Sheikh Hasina dan kelulusan ini telah diberi oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur pada saya dan ATM dan Kementerian Kesihatan. Ketika ini, kerajaan sedang menunggu prosedur yang ditentukan oleh kerajaan Bangladesh untuk membenarkan pembinaan hospital itu," katanya pada sidang media selepas melawat Kem Pelarian Kutupalong, kira-kira 35 km dari sini, Isnin.

Katanya, hospital itu akan dibina dalam tempoh sebulan selepas proses prosedur itu dan Kementerian Kesihatan akan membantu dari segi kepakaran doktor, jururawat dan pembantu perubatan yang akan berada di sini.

"Hospital ini akan mempunyai seramai 35 orang tenaga perubatan seperti doktor, pembantu hospital dan jururawat. Dalam tempoh sebulan (selepas dibina) hospital medan itu akan beroperasi sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, dari segi jangka panjang, Malaysia, Bangladesh dan negara lain serta organisasi antarabangsa akan mencari penyelesaian untuk memuktamadkan masalah pelarian Rohingya yang berada di Bangladesh.

Katanya, perkara itu merupakan antara yang dibincangkan dengan Menteri Luar Bangladesh, Abul Hasan Mahmod Ali di Dhaka, Ahad.

Krisis kemanusiaan semakin memuncak di wilayah Rakhine, Myanmar dengan semakin ramai etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh setiap hari dan semakin banyak kem pelarian diwujudkan.

Jumlah sebenar pelarian tidak dapat dipastikan tetapi ada banyak pihak mendakwa ia telah melebihi sejuta orang.

Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Bangladesh sejak Ahad. Pada Ahad beliau mengadakan pertemuan dengan Abul Hasan dan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerja Luar Negara Nurul Islam di Dhaka.

Timbalan perdana menteri turut mengadakan pertemuan dengan pasukan hoki Malaysia yang sedang beraksi pada Piala Asia di Dhaka. - Bernama

Rohingya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dah Tak Sabar Nak Check-In!

Artikel Lain