MINGGU lepas adalah minggu yang berat. Walaupun hanya ada satu tugas, tapi ia tugas yang berat - modifikasi. Bertambah berat apabila tangan kanan aku dijangkiti kulat. Bukan itu sahaja, keadaan makin bertambah berat apabila pekerjaan modifikasi itu dinaungi pula oleh jurutera yang tidak disukai ramai. Disebabkab jari-jemari dan tapak tangan aku tidak seperti biasa, dan bagi menjamin pelaksanaan tugas yang seoptimum mungkin, terpaksa ia aku balut bagi mengurangkan kesakitan. Entah dari mana kulat ini muncul aku tidak tahu. Ini pertama kali terjadi dalam hidup aku. Mungkin aku alah dengan Doha agaknya. Modifikasi kali ini agak besar. Walaupun hanya satu sistem, tetapi ia melibatkan pemasangan pelbagai subsistem lain. Berpuluh wayar harus dipasang, satu kabinet, hampir 10 unit komputer mini dan satu set unit antena. Tiga hari pertama, aku bersama dengan tiga orang lagi mekanik ditugaskan untuk menjajar (routing) berbelas-belas wayar dari hujung belakang kapal terbang sehingga depan, dan kemudian turun pula ke bahagian kargo. Tiga hari yang menyeksakan untuk aku. Walhal, kerjanya bukan susah mana pun. Dan bukannya tidak biasa dibuat. Tetapi disebabkan keadaan tangan yang tidak sihat itu, segalanya terasa sukar. Apabila bekerja 'berat' sebegini mulalah otak aku memberi pelbagai cadangan untuk meraikan diri sendiri. Nak beli set KFC partilah, pizzalah, makan kambinglah, dan macam-macam lagi. "Baik kau pergi klinik," tegur seorang mekanik Pakistan yang berbadan gempal dan rendah yang mendapat jolokan nama Panda, sekali gus mematikan lamunan aku yang sudah berkhayal macam-macam tadi. "Tapi, kan banyak kerja ni," jawab aku. "Phuii! Tak payah berlakonlah, aku tahu kau pun macam aku juga, malas nak buat modifikasi ini," kata dia sambil gelakkan aku. Dan aku pun ikut sama gelak. Hari pantas berlalu. Tanpa disedari, sudah masuk hari keempat. Masing-masing bersemangat. Maklumlah hari terakhir bekerja. Esok kami cuti empat hari. "Kita jadi pergi makan ikan?" tegur Melvin yang dulu tak sabar-sabar nak makan shawarma. "Jadi!" kata aku. "Siapa lagi ikut?" "Aku ajak Rohaizad dan Sami," jawab dia. "Kita perlu ajar Sami makan ikan, haha," gelak Melvin. Sami seorang mekanik warganegara Sudan. Berkulit hitam dan tinggi ya amat. Dan bangga mengaku diri dia Arab. Berkumpullah kami seusai saja kerja pukul enam petang, empat orang di restoran Thai Smile, menikmati tomyam, ikan masak cili, sayur campur dan air longan. Sami mencedok tomyam ke dalam mangkuk kecil. Perlahan dia mengambil sudu dan mencedok tomyam dan menghirupnya sedikit. Aku, Rohaizad dan Melvin memerhati tingkah laku Sami. Keadaan di meja senyap sunyi. Masing-masing berdebar menunggu reaksi Sami yang pertama kali menikmati tomyam. "Wow! Sedap!" ucap Sami. "Yeah!" jerit kami hampir serentak. Dan sesi menjamu selera pun bermula. Beban bekerja 12 jam selama empat hari terasa hilang tenggelam dalam kenikmatan masam tomyam dan manis-manis pedas ikan bersama sesi kutuk mengutuk. Jari-jemari aku masih tetap gatal. Memang dah tiba masa aku pergi klinik agaknya.