suria

60 Pakar Perubatan Sedia Tabur Bakti Di Bangladesh

Barangan keperluan dan ubat-ubatan dibawa masuk ke dalam pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pengkalan Udara TUDM Subang bagi misi kemanusiaan untuk Rohingya di Chittagong,Bagladesh. - Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan menugaskan 60 pegawai dan pakar perubatan di hospital medan yang akan dibina  di kem pelarian etnik Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kumpulan pertama tersebut yang terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang akan ke kem pelarian itu sebaik mendapat kebenaran pihak berkuasa Bangladesh.

“Ini adalah satu keputusan jemaah menteri bahawa kita menyediakan hospital medan di Bangladesh untuk membantu pelarian dari sudut kesihatan.

“Kita telah buat segala persiapan untuk pergi ke situ dengan kerjasama beberapa pihak lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara,” kata  Dr Subramaniam yang juga  Presiden MIC kepada pemberita di Rumah Terbuka Deepavali, di sini pada Rabu.

Beliau berkata  bagaimanapun perincian penugasan termasuk tempoh perkhidmatan mereka di hospital itu belum diputuskan.

Dalam lawatannya ke kem pelarian Rohingya di Kutupalong, Bangladesh baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Malaysia akan membina sebuah hospital medan bernilai RM3.5 juta di kem pelarian yang menempatkan etnik minoriti Islam Myanmar itu. - Bernama


Hospital Medan, Rohingya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain