KUALA LUMPUR: Ketika Kapten Rohana Jupri menyertai Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 33 tahun lalu, beliau tidak menyangka akan menjadi anggota wanita yang sentiasa diberikan peluang kenaikan pangkat. Kini, ibu kepada empat anak ini menjadi wanita pertama dalam sejarah 83 tahun tentera laut yang dilantik menjadi kapten. "Ini saat yang paling membanggakan buat saya dan memang ia satu pengiktirafan yang tinggi daripada pihak atasan. Saya sangat bersyukur dengan pengiktirafan ini," katanya selepas majlis Majlis Pemakaian Pangkat di KD Sri Gombak, Khamis. Sebelum dinaikkan pangkat kepada kapten, Kapten Rohana, 54, juga merupakan pegawai komando wanita pertama di Depot Bekalan Armada di Lumut, Perak, di mana beliau mengawasi makanan, bahan bakar dan keperluan angkatan laut yang lain. "Ia satu tugas yang mencabar kerana anda berurusan dengan keperluan manusia dan kapal. "Sebarang salah perhitungan dalam catuan boleh menjejaskan misi," katanya. Walau bagaimanapun, beliau berkata kemahirannya dalam menangani masalah di rumahnya membantunya mengatasi cabaran tersebut. Dalam menjalankan tugasnya, beliau yang tinggal di Tanjung Karang ini menghabiskan masa selama empat jam berulang-alik ke pangkalannya setiap minggu, meninggalkan suaminya Anuar Yahya, 57, dan anak-anak berusia antara 16 dan 21 di rumah. "Perjalanan ini agak memenatkan tetapi disebabkan tuntutan kerja saya lakukan juga. "Saya sentiasa berharap dapat bersama keluarga pada setiap hujung minggu," katanya. Beliau menyifatkan kenaikan pangkatnya adalah berkat sokongan suaminya selain Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin yang mengiktiraf kemahiran dirinya. "Saya rasa tak kira lelaki dan wanita, mereka boleh mencapai sebarang kejayaan jika kita meletakkan azam dan kesungguhan.