MIRI: Tiga mesin juruwang automatik (ATM), tiga mesin deposit wang tunai (CDM) dan sebuah mesin deposit cek milik CIMB Bank di Jalan Indica, Miri Waterfront musnah dalam kebakaran awal pagi Sabtu. Ketua Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, insiden itu bagaimanapun hanya melibatkan bilik yang menempatkan mesin tersebut. "Punca kebakaran belum dapat dipastikan kerana siasatan sedang dijalankan," katanya kepada Bernama , Sabtu. Mengakui kes kebakaran ini luar biasa, Law berkata, selain mesin turut terbakar ialah wang di dalam mesin tersebut namun jumlah sebenar tidak dapat didedahkan kerana melibatkan urusan sulit bank. Bomba menerima panggilan insiden tersebut pada 2.25 pagi, dan tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian sebelum kebakaran dipadam sepenuhnya 20 minit kemudian pada 3.50 pagi. - Bernama