suria

Adik Medina Masih Tak Cukup RM118,839

Wan Norizah (tiga, kanan) bersama suami dan Nur Medina menerima kunjungan Yayasan Utusan dan Kelss di rumahnya di Kampung Rasal, Tok Uban. - Sinar Harian

PASIR MAS: Sebanyak RM118,839 diperlukan bagi membiayai pembedahan kanak-kanak berusia setahun, Nur Medina Normazhadi yang menghidap penyakit kegagalan hati atau Biliary Atresia.

Ibunya, Wan Norizah Wan Seman, 31, berkata, setakat ini, sebanyak RM41,416 berjaya dikumpulkan menerusi tabung sumbangan yang digerakkan oleh Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (Kelss).

Katanya, anaknya memerlukan sekurang-kurangnya RM160,000 bagi membolehkannya menjalani pembedahan di Hospital Renji, Shanghai, China.

“Pembedahan di Hospital Renji ini dilakukan atas nasihat pakar perubatan, selain kosnya lebih murah berbanding RM300,000 di Singapura,” katanya ketika menerima kunjungan dari ahli Kelss di rumahnya di Kampung Rasal, Tok Uban, di sini.

Dalam kunjungan itu, Nur Medina turut menerima sumbangan RM5,000 dari Yayasan Utusan bagi menampung kos perbelanjaan pembedahan tersebut.

Sementara itu, wakil Kelss, Akidi Hamid berkata, pihaknya akan terus berusaha mengumpulkan dana bagi membantu Nur Medina.

Katanya, kanak-kanak itu perlu segera dibedah bagi mengelakkan berlakunya komplikasi lain.

“Kami akan terus giatkan kempen supaya dana ini dapat dikumpulkan dalam tempoh terdekat.

“Ini salah satu usaha kami untuk membantu adik Nur Medina,” katanya. - Sinar Harian

Nur Medina

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan