GEORGE TOWN: Mayat mangsa ketujuh yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah di sini pada Sabtu ditemukan kira-kira pukul 9.56 pagi Ahad. Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang mengesahkan berita itu melalui pesanan pada aplikasi WhatsApp memberitahu bahawa mangsa ketujuh ditemukan dan hanya tinggal empat lagi masih tertimbus. Artikel Berkaitan: “Tengoklah Sekarang Apa Dah Jadi” - Adun DAP Bagaimanapun, pesanan itu tidak mengenal pasti identiti mangsa. Lebih 220 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Pertahanan Awam, Pasukan Bantuan dan Penyelamat Bencana Malaysia (Smart) Putrajaya, Rela dan pasukan perubatan terlibat dalam pencarian empat lagi mangsa terbabit. Terdahulu, mStar Online melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP, Teh Yee Cheu berkata, masih ada 10 projek pembangunan yang sedang dijalankan ketika kejadian tanah runtuh tersebut berlaku. Namun, rayuannya untuk menyelamatkan kawasan bukit di negeri itu sering diabaikan.