suria

“Wajahnya Sikit Pun Tak Terjejas”

Muslifah Salis, 58, bersama Samhari Salis, 49, menunjukkan gambar adik mereka Erwin Salis, 35, yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah. -fotoBERNAMA

GEORGE TOWN: Walaupun tertimbus dalam kejadian tanah runtuh, wajah Erwin Salis, 35, mangsa yang maut dalam kejadian di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini, tidak sedikit pun terjejas, sekali gus memudahkan pengecaman oleh anggota keluarganya.

Kakak mangsa, Muslifah, 58, berkata selain mengalami sedikit pendarahan pada hidung, tiada kecederaan lain dilihat pada mata kasarnya ketika membuat pengecaman itu.

"Walau luluh hati saya ketika melihat sekujur tubuh Erwin di depan saya, wajahnya tidak langsung berubah dan saya amat yakin itu adalah mayat adik saya," katanya kepada Bernama di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini Ahad.

Muslifah berkata dia reda dengan pemergian adiknya walaupun detik itu merupakan sesuatu yang amat sukar dan pahit baginya dan keluarga.

Berkongsi mengenai peribadi adik bongsunya itu, Muslifah berkata Erwin yang merupakan  anak ke-15 dalam keluarga besar mereka adalah seorang ceria dan peramah.

"Erwin yang telah enam tahun bekerja di negara ini mempunyai isteri dan dua anak yang menetap di Jawa Timur, Indonesia. Kali terakhir saya bertemu dengannya pada hari raya tahun lalu di Gombak, Selangor.

"Tahun ini Erwin tidak dapat balik beraya bersama-sama kami kerana dia hanya dapat cuti dua hari," katanya yang telah 39 tahun menetap di Gombak.

Muslifah selepas mengesahkan mayat adiknya Erwin Salis, 35, di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), Ahad. -fotoBERNAMA

Muslifah berkata jenazah Erwin akan dikebumikan di Gombak selepas mendapat persetujuan daripada kesemua adik-beradik mereka.

Sementara itu, Sharif Johari, 65, bapa kepada seorang lagi mangsa, Hosrin yang turut berada di Jabatan Perubatan Forensik HPP berkata anaknya itu telah bekerja di Pulau Pinang sejak tujuh tahun lalu.

"Saya diberitahu semalam tentang kemalangan itu tetapi saya tidak percaya itu Hosrin, itulah hari ini saya datang dari Kuala Lumpur untuk pengecaman," katanya yang bekerja di sebuah hotel di ibu negara.

Sharif yang kelihatan cuba menahan air mata berkata kali terakhir dia berjumpa dengan anak lelakinya itu ialah pada  Aidilfitri empat tahun lepas apabila Hosrin pulang ke Medan berjumpa keluarganya.

"Selepas pengecaman, proses menghantar balik jasad Hosrin akan diuruskan dan dijangka sampai Indonesia esok pagi," katanya dengan sayu.

Mayat Hosrin, 33, yang tertimbus dalam runtuhan tanah di tapak pembinaan rumah mampu milik semalam ditemui pada 11.31 pagi semalam.

Dalam kejadian 8.57 pagi semalam itu, 11 pekerja binaan dari pelbagai negara dipercayai tertimbus dan setakat tengah hari ini tujuh mayat telah ditemui dengan enam berjaya dikeluarkan serta dibawa ke HPP.

Operasi mengesan empat lagi mangsa sedang giat dijalankan. -Bernama

tanah runtuh, Erwin Salis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain