KUALA LUMPUR: Jajaran Sri Damansara Link (SDL) Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) Fasa Dua akan dibuka kepada umum mulai 12 malam Selasa (24 Oktober). Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jajaran sepanjang 7.4 kilometer itu dijangka menyelesaikan masalah kesesakan di sekitar ibu kota terutama kawasan Jalan Segambut, Jalan Kuching, Rawang dan Kepong. "SDL juga akan menambah baik sistem penyuraian trafik sekitar Jalan Lang Emas, Jalan Taman Bukit Maluri, Kepong dan Penchala selain menjimatkan masa kira-kira 10 minit, " katanya ketika merasmikan jajaran tersebut di sini, Isnin. Fadillah berkata dianggarkan 30,000 pengguna akan menggunakan jajaran itu setiap hari. Jajaran SDL menghubungkan Persimpangan Bertingkat Manjalara menghala ke Timur untuk berhubung dengan Persimpangan Bertingkat Segambut di Jalan Segambut. - Bernama