SEPANG: Media tempatan dan antarabangsa memenuhi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada pagi Selasa berikutan pihak dari mahkamah dijangka membuat tinjauan ke tempat kejadian di mana Kim Jong-nam didakwa dibunuh. Tinjauan ke lokasi kejadian itu menandakan hari kesembilan perbicaraan terhadap warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, yang didakwa kerana membunuh Jong-nam, di balai berlepas KLIA2 pada pukul 9 pagi 13 Februari lalu. Hakim Datuk Azmi Ariffin membenarkan permohonan peguam bela untuk melawat ke tempat kejadian bagi membolehkan mereka untuk mengenal pasti lokasi insiden sebagaimana yang ditunjukkan dalam kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang itu. Pasukan polis menutup kawasan di terminal berlepas di bahagian daftar masuk sendiri antara kaunter 'V' dan 'W' bagi memastikan proses berjalan lancar. Sekumpulan jurukamera 'berkampung' di kawasan sekitar sejak pukul 6 pagi. Siti dan Thi Huong kelihatan dibawa menerusi kawalan ketat oleh pasukan polis pada kira-kira pukul 8.30 pagi. Peguam, pendakwa dan hakim dijangka akan membuat tinjauan di terminal berlepas dan klinik di mana Jong-nam mendapatkan rawatan perubatan. Jong-nam yang merupakan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, tiba di Malaysia pada 6 Fenruari dan berada di KLIA2 untuk menaiki penerbangan ke Macau pukul 9 pagi pada hari dia dibunuh.