suria

Tempayan Misteri Berisi Tengkorak Manusia Ditemui

Foto Sinar Online.

BATU GAJAH: Empat tempayan misteri berisi empat tengkorak manusia ditemui di atas bukit di sebuah kawasan peninggalan lombong bijih timah di Kampung Baru Nalla, Tronoh, Selasa.

Kejadian sekitar pukul 1.30 petang itu disedari seorang kontraktor rintis Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melakukan kerja penyelenggaraan pencawang di lokasi berhampiran.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati, tempayan berkenaan tersusun rapat dengan tiga daripadanya dalam keadaan tertutup.

"Kita dapati, tulang-tulang yang berada dalam tempayan itu bercampur, ada empat tengkorak dan beberapa tulang lagi bertaburan atas tanah.

"Semua tulang ini tidak diusik dan akan dirujuk ke pakar patologi esok bagi pengesahan sama ada terdapat unsur jenayah atau tidak," katanya.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan penemuan tengkorak itu ada kaitan dengan aktiviti pemindahan tulang nenek moyang kaum Cina yang telah meninggal dunia.

Katanya, berdasarkan temubual orang kampung, dahulu terdapat aktiviti pemindahan tulang nenek moyang dan saudara yang telah lama meninggal dunia untuk ditempatkan di tempat yang mempunyai fengshui yang baik.

"Siasatan awal terhadap penduduk kampung juga tidak dapat mengaitkan dengan sebarang aktiviti pemujaan atau jenayah."Siasatan akan diteruskan dari pelbagai sudut, buat masa ini siasatan dijalankan di bawah Kertas Enkuari Polis (KEP)," katanya.

Tinjauan ke lokasi mendapati, lokasi penemuan terletak lebih tiga kilometer dari pekan Tronoh dan dalam jarak 10 kilometer terdapat jirat Cina.

Penduduk kampung memaklumkan, lombong lama itu sudah lebih 17 tahun tidak beroperasi dan jarang dikunjungi orang kecuali jika ada projek pengambilan pasir.

Seorang penduduk dikenali Sulaiman, 35, berkata, sekitar tahun 90 an, kawasan itu memang terkenal sebagai lokasi penempatan tempayan menyimpan tulang nenek moyang masyarakat Cina yang meninggal dunia.

Bagaimanapun menurutnya, setelah projek pengambilan pasir dan kelapa sawit bermula,  tempayan berkenaan dibawa keluar.

"Aktiviti itu sudah lama dan kita tak pernah dengar lagi ada tempayan diletakkan di situ sehinggalah hari ini," katanya. - Sinar Online

tempayan misteri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain