PETALING JAYA: Kontroversi cinta yang melanda jutawan kosmetik terkenal Datuk Seri Hasmiza Othman dengan pembantu peribadinya Ahmad Iqbal Zulkefli akhirnya menemui penyelesaian. Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida mengambil keputusan untuk memindahkan pembantunya itu ke jabatan pemasaran berkuatkuasa pada Khamis. ARTIKEL BERKAITAN: 'Anak Ikan' Vida: Cik B Bagi Amaran! Kata Vida, isu yang terpalit antara dirinya dengan jejaka berusia 23 tahun yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu telah membuatkan maruah dan reputasi dirinya sebagai usahawan tercalar. Desas-desus mengenai hubungan mereka mula diperkatakan pada minggu lalu apabila anak perempuan Vida, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 12, memuat naik paparan skrin gosip percintaan ibunya di laman Instagram dengan kapsyen seolah-olah tidak merestui hubungan tersebut. Gosip mengenai hubungan mereka dikuatkan lagi apabila sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa jejaka tersebut tidak menolak andai dijodohkan dengan Vida. Ahmad Iqbal (kanan) merupakan pegawai media dan pembantu peribadi Vida sejak Jun lalu. "Buat masa ini jawatan pegawai media dan pembantu peribadi yang disandang Ahmad Iqbal masih kosong dan hubungan saya dengannya tidak awkward serta tidak lebih daripada seorang majikan dan pekerja. "Sebenarnya, Iqbal agak tergugat bila ditukar kerana tumpuan dia sudah berbeza. Lepas ni, dia kena hadap produk, hadap Pamoga dan bukannya hadap muka saya seperti sebelum ini," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis. Tambah Vida, pertukaran Ahmad Iqbal ke jabatan baharu tersebut bukan dipengaruhi oleh posting yang dimuat naik oleh anak perempuannya yang popular dengan nama panggilan Cik B. Vida juga tidak menafikan berasa tersinggung apabila ada pihak yang beranggapan lelaki yang ingin mendampinginya tiada niat lain selain wang dan harta. "Saya terasa adakah saya ini tidak cantik walhal saya memiliki ciri-ciri impian yang diingini oleh seorang lelaki. "I am fun, I am pretty, I am beautiful... seperti lirik lagu saya," katanya yang kini berada di Brunei atas urusan perniagaan.