KOTA KINABALU: Minat terhadap penyampaian cerita mendorong dua anak muda dari Sabah dan seorang lagi dari Sarawak untuk mengetengahkan bakat mereka di YouTube sehingga mampu menjana pendapatan menerusi laman sosial itu. Sama ada berkongsi kisah mengenai kehidupan kolej, persahabatan, parodi filem seram ataupun pengubahsuaian kereta, Aidil Syaqirul Azamuddin dari Ranau, Clyrievon Derek (Tuaran) dan Hee Wei Seng (Miri), berjaya menarik jumlah tontonan yang tinggi menerusi video yang dimuatnaik mereka. Video Hee, 30, yang mencuba kereta yang sudah diubahsuai atau belajar aksi lasak dengan gaya lawak telah meraih jumlah tontonan hampir 13 juta di YouTube. Derek atau lebih dikenali sebagai Mr Clyrie telah mendapat tontonan dua juta menerusi videonya yang banyak berkisar mengenai kehidupan seharian seperti persahabatan. Aidil atau AidilHR pula yang tampil dengan video parodi filem seram seperti Train To Beaufort yang diilhamkan dari Train To Busan mendapat jumlah tontonan hampir 5.3 juta setakat ini. Antara videonya yang mendapat jumlah tontonan tertinggi ialah Zombie Dalam Hostel dan Tok Bomoh Profesional. Kegigihan mereka dalam menghasilkan video untuk menarik jumlah tontonan tinggi akhirnya membuahkan hasil apabila Google, pemilik YouTube, membayar mereka menerusi periklanan. "Pendapatan agak bagus tetapi saya melakukan perkara ini kerana minat dan mahu bercerita," kata Aidil, 20, yang mempelajari pembikinan filem dan kandungan kreatif di kolejnya. Dia mula merakam minatnya terhadap pengubahsuaian kereta dan permainan bola keranjang sejak 2006. "YouTube membuka peluang untuk saya bertemu dengan ramai peminat kereta dan mereka yang profesional dari serata dunia. "Tanpa YouTube, saya pastinya tidak dapat berkongsi minat saya terhadap kereta," katanya. Walaupun terdapat ramai penonton yang sering menunggu video terbaharu mereka, ada segelintir pihak yang kurang senang dengan apa yang mereka lakukan. "Perkara terbaik adalah usah hiraukan mereka," kata Hee.