PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berita gembira buat ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata bermula 1 Januari depan hingga 2022 pada pembentangan Bajet 2018. Katanya, setiap anak Malaysia yang dilahirkan dalam tarikh tersebut akan dihadiahkan Dana Tabungan Permulaan sebanyak RM200 dalam bentuk unit Amanah Saham. "Skim yang pertama kali diperkenalkan di negara ini akan dinamakan sebagai Amanah Dana Anak Malaysia (Adam) 20150 atau Adam50," ujarnya. Selain itu, peruntukan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan yang diumumkan bagi tahun 2018 adalah sebanyak RM2.2 bilion. Peruntukan biasiswa yang disediakan oleh kerajaan sejak 2009 hingga kini dianggarkan bernilai RM44 bilion. Malahan, lebih menarik lagi apabila wanita pekerja swasta yang bersalin mendapat cuti mandatori 90 hari, sama seperti penjawat awam. Selain itu, sebanyak 500,000 pencarum berusia 7 hingga 12 tahun bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) akan mendapat geran RM500 dimana ia boleh dikeluarkan apabila usia mencapai 18 tahun. SSPN juga kini dikenali sebagai Skim Simpanan Pendidikan 1 Malaysia (SSP1M). Selain itu, kata perdana menteri, rebat cukai untuk majikan yang mengambil pekerja kelainan upaya juga akan diperluaskan kepada pekerja yang menghidapi penyakit kritikal. Tambahnya lagi, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan memeriksa sama ada pekerja yang menghidapi penyakit kronik masih boleh berkhidmat atau sebaliknya. Najib berkata, perkara ini turut terpakai kepada pekerja yang menderita kecederaan kritikal melibatkan kemalangan.