PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2018 mengumumkan tahun 2020 sebagai Tahun Melawat Malaysia (TMM). Perdana Menteri berkata, ia seiring dengan pelbagai aktiviti yang akan dilaksanakan pada tahun itu, termasuk menjadi tuan rumah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM). “Pertubuhan Pelancongan Dunia melaporkan pada 2016, Malaysia adalah negara ke-12 yang paling ramai dikunjungi pelancong seluruh dunia. “Bak kata orang, Dari Melaka ke Negeri Pahang, Tumpang Berteduh di Bandar Pekan, Negara Tersohor Pelancong Pun Datang, Itulah Tandanya Malaysia Aman," katanya ketika membentangkan Bajet 2018, di Dewan Rakyat, Jumaat. Menurut Najib, kerajaan akan memperkenalkan beberapa skim bantuan bagi menyiapkan negara sebagai destinasi pelancongan pilihan bagi 2018 yang dijangka dilawati 28 juta pelancong. "Sebanyak RM2 bilion diperuntukan kepada Tabung Pelancongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebagai pinjaman kepada pengusaha pelancongan dengan insentif subsidi berkadar faedah dua peratus," katanya. Selain itu, Najib juga mengumumkan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai mulai 2018.