PETALING JAYA: Seorang pengguna Grab yang kisahnya tular kerana mengeluh tidak selesa menaiki sebuah kereta yang ditempah menerusi perkhidmatan ‘e-hailing’ tampil membuat permohonan maaf. “Saya mohon maaf maaf kepada sesiapa yang tersinggung dengan kenyataan saya di Twitter, pemandu Grab dan mungkin juga pemilik Saga. Tiada niat untuk menghina,” kata Ariff Shah, 29, menerusi artikel di blognya pada Sabtu. Mengakui tidak selesa menaiki kereta kompak sedan buatan tempatan itu, Ariff menjelaskan bahawa dia menjangkakan kenderaan jenis lain seperti Vios model lama atau mana-mana model di dalam ‘kelas’ yang sama datang menjemputnya yang ketika itu membuat tempahan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). “Terima FLX dan saya tidak batal dan tempah semula kerana saya memang tak buat macam tu. Cara saya adalah always to go with the flow. “Kenapa tidak Grab dengan enam tempat duduk (6-seater)? Saya tidak perlukannya kerana hanya tiga orang yang naik dengan satu bagasi besar dan satu lagi bersaiz sederhana. Saya kemudian mendapati Grab 6-seater ketika ini dikira sebagai pilihan Ekonomi. “Kenapa tidak Premium? Kenapa saya perlukannya? Saya tidak mempunyai status atau imej tertentu yang perlu dijaga,” Ariff memberi penjelasan, sekali gus menjawab pertikaian netizen terhadap dirinya. Keluhan Ariff mengenai kereta pemandu Grab di Twitter yang tular. Selasa lalu, kenyataan Ariff di Twitter tular selepas mengadu kereta pemandu Grab yang dinaikinya untuk ke KLIA tidak selesa dan mencadangkan supaya pengendali perkhidmatan tersebut menyesuaikan kadar tambang mengikut jenis dan keadaan kereta terutama bagi destinasi berkenaan. Kenyataan itu mendapat kecaman netizen terutama dalam kalangan pemandu yang menggunakan perkhidmatan ‘e-hailing’ itu. ARTIKEL BERKAITAN: “Bayar Murah, Tak Kan Nak Jemput Naik BMW?” Dalam pada itu, Ariff turut memberikan hujahnya sebagai cadangan untuk Grab menambah baik perkhidmatannya mengikut kehendak dan keselesaan pelanggan. Dengan ramai pemandu Grab membawa pelbagai jenis kereta, katanya, syarikat itu seharusnya menggunakan peluang itu untuk menjana lebih pendapatan. Menurut Ariff, fungsinya adalah mengembangkan kategori GrabCar Economy sedia ada tetapi dengan pilihan jenis model kereta. “Memang kita boleh batalkan tempahan sehingga dapat model kereta yang kita nak, tetapi hanya membazirkan masa. “Sediakan pilihan dan kenakan caj kepada kami,” katanya sambil mendakwa bahawa kesediaan kenderaan di bawah Grab Premium masih rendah menyebabkan lebih banyak masa menunggu diperlukan bagi mendapatkan perkhidmatan itu. Maklum balas Grab berhubung keluhan Ariff Shah di Twitter. Sehubungan itu Ariff berkata, ciri tambahan itu akan menjana lebih pendapatan kepada Grab dan pemandu selain dapat memberikan kepuasan kepada pelanggan. “Kelebihan di pihak pemandu adalah mereka akan kurang berdepan dengan pelanggan cerewet yang mahu bayar minimum untuk perkhidmatan premium,” katanya. Menurut Ariff, dia akan terus menggunakan perkhidmatan Grab seperti biasa, dan setiap pemandu mempunyai hak sekiranya mahu menolak tempahannya. “Sebagai ahli perniagaan, nasihat saya adalah anda boleh benci pelanggan anda, tetapi jangan benci wang mereka,” katanya sambil menyifatkan Grab merupakan perkhidmatan yang bagus, tetapi perlu melakukan penambahbaikan segera.