suria

“Bukan Nak Lawan...”

(Kiri) Gaun 'nasi lemak' rekaan pereka fesyen tempatan, Brian Khoo dan (kanan) gaun rekaan menggunakan teknik manipulasi foto cetusan idea Rafil Thazali.

PETALING JAYA: Belum pun reda kontroversi gaun ‘nasi lemak daun pisang’ yang bakal dipakai wakil Malaysia pada pertandingan Miss Universe 2017, muncul satu lagi rekaan berinspirasikan makanan tempatan itu.

Rekaan terbaru itu turut tular apabila gambarnya dimuat naik di laman sosial oleh perekanya, Rafil Thazali, malam Rabu.

Dia mengakui ilhamnya itu tercetus susulan busana tular yang dipakai pemenang Miss Malaysia Universe, Samantha Katie James.

Ciri utama seperti daun pisang pada mantel labuh, sambal (lengan dan pinggang), kacang (perut), nasi (skirt), ikan bilis (hiasan kepala) dan telur (corak dalam skirt) diterjemahkan secara kemas bagi menunjukkan ciri-ciri makanan pilihan rakyat Malaysia itu.

“Tanpa melupakan warisan kita, saya turut memasukkan tekstur fabrik tempatan seperti songket, kain renda kebaya, sutera atau satin kain sari dan elemen merah Cina kepada rekaan ini bagi mewakili kepelbagaian kaum sebagai satu gabungan lengkap dan harmoni,” kata Rafil di laman sosialnya dengan gambar gaun rekaannya itu turut tular.

Cetusan idea berinspirasikan makanan kegemaran rakyat Malaysia dan rekaan busana yang bakal dipakai Miss Universe Malaysia.

Bercakap kepada mStar Online, Rafil yang berusia 35 tahun itu menjelaskan bahawa dia bukanlah pereka fesyen, sebaliknya seorang jurugambar fesyen sejak 2010.

Dia berkata, rekaan tersebut timbul 'berpunca' daripada gaun ‘nasi lemak’ yang tular, sebelum idea untuk melakar rekaan berkonsep sama tiba-tiba tercetus dan seterusnya dia terpanggil untuk berkongsi rekaannya sebagai satu pembaharuan. 

“Saya bukanlah pereka fesyen. Saya tak pandai menjahit pun, apatah lagi nak cari ‘material’ untuk membuat baju seperti manik dan labuci.

“Rekaan saya dibuat menggunakan teknik manipulasi menerusi aplikasi rekaan grafik komputer. Itu kepakaran saya yang diterjemahkan dalam rekaan baju ‘nasi lemak’,” katanya yang pertama kali menggunakan teknik manipulasi foto untuk rekaan baju, selain mendapat sentuhan kreatif daripada teman wanita dan seorang mentor fesyen.

Rekaan Rafil sekadar simbolik menggambarkan elemen nasi lemak. Foto ihsan Rafil Thazali/rafflethazzle

Memulakan kerjaya sebagai pereka grafik pada 2006, Rafil menegaskan dia tiada niat untuk ‘melawan’ mahupun bersaing dengan gaun ‘nasi lemak daun pisang’ rekaan pereka fesyen tempatan, Brian Khoo.

“Kita tak boleh halang perbandingan yang dibuat netizen kerana ia adalah seni visual. Brian Khoo dah buat seni visual menerusi rekaannya secara fizikal, dan saya buat dalam bentuk manipulasi foto. Jadi, boleh bezakan antara realiti dan maya,” katanya.

Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur ini, rekaan versinya itu sekadar simbolik kepada nasi lemak, bukannya menyerupai makanan itu 'bulat-bulat'.

“Saya tak tunjukkan betul-betul rupa ikan bilis, tetapi sebagai hiasan di kepala. Kalau kacang tu saya jadikannya sebagai manik-manik yang bersinar di bahagian dada.

“Saya jadikan elemen nasi lemak tu sebagai ikon pada baju, maka tidak timbul isu tahi ikan bilis atau sambal tu nampak ‘kotor’ bila kena pada baju,” katanya.

Sehubungan itu, Rafil sekali lagi menjelaskan bahawa rekaannya itu sekadar terjemahan daripada makanan yang dimakan rakyat Malaysia saban hari kepada sesuatu yang boleh diterima apabila dijadikan sebagai pakaian.

Fesyen nasi lemak bersama sambal ikan bilis dan telur rebus ini menarik perhatian sehingga ia dikritik.

Bagaimanapun tidak dinafikan dia memasang impian untuk membuat rekaan baju, malah mempunyai jenama fesyen sendiri pada masa akan datang.

“Saya memang minat fesyen, tapi dalam perancangan nak buat jenama fesyen untuk lelaki,” katanya sambil tidak menolak akan membuat lebih banyak rekaan pakaian sekiranya terdapat permintaan, masa dan peluang.

Busana ‘nasi lemak’ rekaan Brian Khoo yang tular sehingga menjadi perhatian dan dikritik ramai itu memperlihatkan gaun putih sebagai gambaran nasi lemak dihiasi dengan manik merah 'mewakili' sambal, disertakan replika ikan bilis, telur rebus dan timun, manakala bahagian belakang gaun dilengkapi rekaan dua helai daun pisang.

Gaun tersebut akan dipakai Samantha pada pertandingan ratu cantik Miss Universe 2017 edisi ke-66 pada penghujung November ini di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jangan Jadi Mangsa Curi Identiti

Artikel Lain