GEORGE TOWN: Jabatan Pendidikan Pulau Pinang meminta orang ramai supaya menghentikan spekulasi penutupan tiga sekolah covent di negeri itu kerana belum ada kepastian mengenai perkara tersebut. Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Shaari Osman berkata, permohonan Sisters of Infant Jesus, pemilik pemegang amanah tanah tersebut untuk mengambil semula tanah berkenaan masih belum dimuktamadkan. Tapak bangunan Sekolah Menengah Convent Lebuh Light, sekolah rendahnya dan Sekolah Convent Pulau Tikus terletak di atas tanah tersebut. "Mereka adalah pemilik tanah dan baru-baru ini mereka menulis kepada Kementerian Pendidikan memohon untuk mengambil semula tanah tersebut. "Belum ada lagi surat dihantar kepada ibu bapa sama ada anak mereka akan dipindahkan ke sekolah lain. "Jadi tolong hentikan spekulasi itu kerana ia mencetuskan kekeliruan," kata Shaari. Beliau berkata jabatan itu 'sedang menyediakan segala kemungkinan' bagi memastikan semuanya lancar jika sekolah terbabit perlu ditutup. Namun katanya, sehingga hari ini tiada keputusan telah dibuat mengenai perkara itu.