suria

Kerajaan P.Pinang Akui Kelemahan Sistem Perparitan

GEORGE TOWN: Kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang mengakui kelemahan sistem perparitan negeri antara punca kejadian banjir yang melanda lebih 100 kawasan di kelima-lima daerah di negeri ini sejak Sabtu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata sistem perparitan sedia ada di negeri ini sememangnya tidak mampu menampung aliran air yang begitu banyak ketika hujan lebat.

Menurutnya, jumlah taburan hujan luar biasa sejak 2 petang semalam yang bertembung dengan kemuncak fenomena air pasang juga antara punca berlaku banjir kilat.

"Sistem perparitan semula jadi dan buatan sedia ada tidak mampu menampung aliran air hujan, tambah lagi taburan hujan yang begitu di tinggi di kelima-lima daerah telah menyebabkan banyak kawasan ditenggelami air," katanya kepada pemberita di sini.

Kadar taburan hujan yang direkodkan menunjukkan Seberang Perai Utara mencatatkan paras tertinggi iaitu 372 milimeter diikuti Seberang Perai Tengah (327 mm), Timur Laut (289 mm), Barat Daya (237 mm) dan Seberang Perai Selatan (165 mm).

Hampir keseluruhan kawasan Pulau Pinang dilanda banjir selepas hujan lebat yang turun sejak 2 petang Sabtu di mana 75 kejadian pokok tumbang dan lapan kejadian tanah runtuh telah dilaporkan.

Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri juga tidak mempunyai sumber anggota dan kelengkapan yang mencukupi untuk menghadapi bencana banjir ini.

Katanya, beliau amat menghargai kesediaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana sudi menerima panggilan telefonnya pada 3.30 pagi dan seterusnya menghantar anggota Angkatan Tentera Malaysia untuk membantu Pulau Pinang.

"Kami amat berterima kasih kepada Zahid, seorang pemimpin yang tidak memilih bulu semasa saat genting dalam kerja-kerja membantu mangsa banjir," katanya.

Terdahulu, Lim berkata kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini kerana keadaan terkini masih terkawal.

Katanya, darurat hanya akan diisytihar oleh kerajaan negeri selepas rundingan dan atas nasihat kerajaan persekutuan.

"Kami akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan bagi menyemak prosedur operasi standard (SOP) menangani bencana negeri sedia ada supaya penyelarasan lebih berkesan dapat dilakukan," katanya.

Setakat 2 petang Ahad, sebanyak 51 pusat pemindahan telah dibuka di Pulau Pinang bagi menempatkan 2,861 mangsa banjir di lima daerah.

Cuaca di negeri ini masih mendung dengan sesekali hujan renyai.- Bernama

Pulau Pinang, Banjir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain