GEORGE TOWN: Dua warga emas ditemui lemas pada awal pagi Ahad susulan banjir kilat melanda Pulau Pinang. Seorang lelaki berumur 75 tahun ditemui lemas di rumahnya di Kampung Masjid di Jalan Perak. Seorang lagi wanita warga emas, dengan identitinya belum dikenal pasti, ditemui maut di rumah penjagaan warga emas di Jalan P. Ramlee. Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kedua-dua mayat dibawa oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. Komander Operasi Kanan Zon 1 negeri, Andul Rahman Norudin berkata, mayat wanita itu ditemui pada pukul 6.30 pagi Ahad manakala mayat kedua dijumpai pada pukul 8.30 pagi.