suria

Dua Lagi Mayat Mangsa Banjir Pulau Pinang

Sebuah keluarga membersihkan rumah mereka akibat kesan banjir kilat yang berlaku awal pagi Ahad di Jalan Terengganu. - Bernama

GEORGE TOWN: Mayat dua lagi lelaki dipercayai mangsa banjir di Pulau Pinang ditemukan pada Ahad menjadikan keseluruhannya tujuh individu terkorban akibat bencana alam itu setakat ini, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar.

Beliau berkata mayat seorang daripada lelaki  itu  dikenali sebagai Tan Ah Peow, 45, ditemukan oleh jirannya pada pukul 2 petang di dalam rumahnya yang dipenuhi air banjir di Jalan Mata Kucing, Air Itam.

Mayat ketujuh ditemukan pada kira-kira 2.40 petang oleh orang awam tersangkut di pintu jualan tiket Stadium Bandaraya di sini dan identitinya belum diketahui dan polis meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga untuk tampil membuat pengecaman, katanya di sini, Ahad malam.

Anggota Tentera Malaysia (ATM) bersama para penduduk Kampung Nusantara membuang barang-barang yang rosak akibat banjir setelah kampung itu dilanda banjir kilat awal pagi Ahad. - Bernama

Beliau berkata mayat kedua-dua lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Terdahulu,  dua lelaki dan dua wanita warga emas  ditemukan mati lemas dalam rumah masing-masing pada Ahad selepas dipercayai gagal menyelamatkan diri ketika berlaku banjir di kediaman mereka, manakala seorang warga Bangladesh maut dihempap pokok yang tumbang di rumahnya berikutan angin kencang.

Hampir keseluruhan kawasan Pulau Pinang dilanda banjir kilat setinggi 0.2 meter hingga 1 meter dan puluhan pokok tumbang selepas hujan lebat serta angin kuat sejak 2 petang Sabtu dan paras air sungai yang tinggi bertembung dengan kejadian air pasang di laut menyebabkan limpahan air. - Bernama

Banjir Pulau Pinang

Artikel Sebelum

Hospital Pun Terjejas!

Artikel Berikut

Artikel Lain