GEORGETOWN: "Mujur ada pekerja yang hendak ke puncak Bukit Bendera semalam dan sangup membantu membeli susu dan pampers (lampin pakai buang) untuk anak saya," kata Fathiah Ghazali, 36, yang diselamatkan selepas terkandas di puncak Bukit Bendera akibat tanah runtuh sejak Sabtu lepas. Fathiah berkata dia bersyukur kerana ramai individu yang cuba memberikan pertolongan selepas mereka meminta bantuan dengan menghantar mesej melalui Facebook kepada adik perempuannya yang kemudian menjadi tular di laman sosial itu. "Bagaimanapun tiada jalan untuk naik ke Bukit Bendara dan saya bernasib baik apabila seorang pekerja cuba membantu namun ia agak sukar kerana laluan untuk dia ke Bukit Bendera terputus akibat tanah runtuh selepas hujan lebat dan angin kuat sejak Sabtu lalu. "Saya juga bersyukur kerana pekerja itu yang tinggal di kaki Bukit Bendera sanggup meredah perjalanan hampir enam jam semata-mata mahu menghantar susu, lampin dan nasi kepada kami," katanya ketika ditemui selepas berjaya dibawa turun menggunakan helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, di sini. Sejumlah 43 mangsa terdiri daripada pelancong dan pekerja di puncak Bukit Bendera yang terkandas sejak Sabtu lepas telah berjaya dibawa turun dengan selamat. Tiga puluh satu daripada 43 mangsa yang terkandas di puncak Bukit Bendera diselamatkan menggunakan helikopter oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang manakala selebihnya turun menggunakan laluan darat. Fathiah berkata dia juga bersyukur kerana anaknya Muhammad Ziyad Adha Zakaria yang berusia dua tahun tidak banyak meragam walaupun pada Ahad dan Isnin dia terpaksa mencatu susunya selepas ia hampir habis. "Saya hanya risaukan anak kerana susu dan lampin pakai buang sudah hampir habis namun mujur dia tidak buat perangai. Saya juga berterima kasih kepada pekerja itu yang sanggup meredah laluan ke puncak semata-mata untuk menghantar bekalan makanan serta susu dan lampin anak," katanya yang bekerja sebagai penjawat awam di Komtar di sini. Katanya, pekerja medan selera di Bukit Bendera itu mengambil masa hampir enam jam untuk mendaki laluan ke puncak dan tiba pada jam 7 malam semalam. "Selepas hujan lebat pada Sabtu saya menumpang di Balai Polis Bukit Bendera kerana kuarters Masjid Bukit Bendera yang kami tinggal terputus bekalan elektrik dan air malah bahagian dapur juga rosak teruk kena ribut," kata isteri kepada Imam Masjid Bukit Bendera itu. Seorang lagi mangsa, Wong Suee Fei, 33, berkata beliau, suami dan dua anak mereka juga menumpang di Balai Polis Bukit Bendera sejak Ahad dan hanya mampu berdoa ada pihak yang dapat menyelamatkan keluarganya malah itulah kali pertama kejadian seumpama ini berlaku sejak menetap di puncak bukit itu lebih lima tahun lalu. "Terima kasih kepada semua pihak yang membawa kami turun, saya hanya bimbangkan anak lelaki berusia sembilan tahun dan kakaknya (empat tahun) kerana mereka tidak selesa malah bekalan makanan juga hampir habis," katanya. Sementara itu, seorang pelancong, S Usharani, 56, berkata dia bersama 35 lagi anggota sebuah kelab senaman berada di puncak Bukit Bendera sejak Sabtu kerana mengadakan upacara sembahyang di sebuah kuil di situ dan menginap di hotel di sana. "Kami sepatutnya balik pada Ahad namun tidak dapat turun kerana dimaklumkan semua laluan ditutup berikutan tanah runtuh. Nasib baik hotel mempunyai bekalan makanan yang cukup.Terima kasih kepada pihak yang membantu membawa kami turun," katanya. – Bernama