KUANTAN: Kanak-kanak yang ditemukan tidak sedarkan diri dan lehernya dirantai pada tong gas oleh bapa tirinya di sini bulan lalu akan terus tinggal bersama bapa kandungnya dengan tempoh pengawasan selama tiga tahun. Keputusan itu ditetapkan oleh Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di sini Rabu. Penolong Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM Pahang Azmi Ibrahim berkata, kanak-kanak berusia 10 tahun itu juga akan menghadiri bengkel interaktif dengan pegawai psikologi jabatan tersebut apabila dia mengikut bapanya ke Melaka. "Ini bertujuan untuk memberikan bantuan psikologi kepadanya jika dia masih trauma dengan apa yang berlaku. "Dia akan menjalani bengkel selagi dia memerlukannya untuk pulih," kata Azmi. Pada 7 Oktober lepas, akhbar melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki ditemukan bukan sahaja berbogel malah tidak sedarkan diri serta lehernya dirantai pada tong gas di sebuah rumah di Indera Mahkota. Perbuatan di luar batas kemanusiaan itu dilakukan bapa tiri kanak-kanak berkenaan yang dikatakan hanya kerana tidak tahan dengan kedegilan anaknya yang tidak mahu ke sekolah. Ekoran kejadian itu yang turut tular di media sosial, bapa tiri mangsa yang merupakan seorang anggota tentera ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016. Lelaki berusia 35 tahun berkenaan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh tahanan reman berakhir sementara menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan perundangan selanjutnya. Pada 11 Oktober lalu, mahkamah memutuskan perintah jagaan sementara kepada bapa kandungnya selama sebulan.