suria

JPJ Tawar Lesen RM299 Untuk Pelajar

Wan Ahmad Uzir (berdiri, tengah) bergambar bersama 160 ahli Kadet JPJ yang menyertai Karnival Kadet JPJ dan Karnival Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7. - Sinar Harian

SHAH ALAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan pakej menarik kepada para pelajar berusia 16 tahun ke atas bagi menggalakkan  mereka mendapatkan lesen motosikal B2 menerusi Program MyLesen Kadet JPJ.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, menerusi MyLesen yang bakal dilancarkan hujung tahun ini,  pihaknya menawarkan harga yang murah iaitu RM299 kepada pelajar dan belia.

Beliau berkata, para pelajar perlu merebut peluang tersebut kerana harga ditawarkan jauh lebih murah berbanding harga yang perlu dibayar jika mengambil lesen di sekolah memandu.

"Di sini pelajar hanya perlu daftar dengan JPJ dan bayar RM299, berbeza dengan lesen di sekolah memandu yang boleh mencecah harga sehingga RM400 atau lebih.

"Namun, pelajar perlu ingat bila daftar MyLesen tidak bererti mereka akan terus dapat lesen, mereka perlu ikuti modul lapan jam yang JPJ sediakan sebelum disahkan lulus dan layak memiliki lesen tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas  merasmikan Majlis Penutup Karnival Kadet JPJ dan Karnival Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, di sini, Sabtu.

Wan Ahmad Uzir berkata, pengenalan program MyLesen juga dilihat sangat bertepatan dengan situasi hari ini,  di mana ibu bapa terpaksa membenarkan anak-anak menunggang motosikal ke sekolah kerana tidak mempunyai pilihan.

Menurutnya, sesetengah daripada ibu bapa hari ini sangat sibuk bekerja dan tidak dapat menghantar sendiri anak-anak ke sekolah.

"Kita faham dilema dihadapi ibu bapa dan sebab itu JPJ memperkenalkan program tersebut. Pelajar hanya perlu ke JPJ berhampiran, daftar dan bayar untuk sertai program," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Uzir berkata, lebih 9,000 pelajar di seluruh Malaysia dikenalpasti berdaftar dengan badan beruniform,  Kadet JPJ sejak penubuhannya pada 10 Ogos tahun lalu.

Menurutnya, sambutan diterima terutamanya daripada sekolah-sekolah sangat menggalakkan.

"Banyak sekolah yang 'approach' kita minta untuk ajar. Jadi sekolah-sekolah yang berminat perlu terus berhubung dengan Kementerian Pendidikan yang bertanggungjawab memilih dan meluluskan mana-mana sekolah untuk menyertai kadet JPJ.

"Berdasarkan data, terdapat 221 buah sekolah seluruh negara sudah membentuk Pasukan Kadet JPJ pada tahun ini.

"Kita harap jumlah itu akan terus meningkat setiap tahun kerana melalui badan beruniform ini, JPJ menyediakan modul terbaik sebagai pendedahan kepada para pelajar menjurus ke arah keselamatan jalan raya serta penerapan disiplin-disiplin tertentu yang tidak dapat diperoleh dalam kelas," katanya. - Sinar Harian

MyLesen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain