KUALA LUMPUR: Sistem apungan minyak mentah akan dikekalkan pada kadar harga dagangan minyak mentah dunia, yang kini pada paras US$63 setong. Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pada 2008, harga minyak mentah dunia mencecah US$140 setong dan RON95 ketika itu berharga RM2.70 seliter berbanding RM2.31 seliter sekarang. “Apabila ia naik sampai satu peringkat di mana kita (kerajaan) perlu buat perbincangan, kita akan buat perbincangan. Setakat hari ini, jauh lagi, kerana kita harus ingat bahawa dahulu (pernah mencapai paras) US$140 setong,” katanya pada Festival Makanan dan Kesenian Kampong Bharu 2017 anjuran Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Sabtu. Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, harga minyak mentah dunia yang turun naik adalah di luar kawalan kerajaan dan apa yang boleh dilakukan kerajaan ialah pantau,agih Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta menimbang bantuan bagi mereka berpendapatan rendah agar tidak jatuh ke paras kemiskinan. “Skim hari ini adalah minyak apungan dan pengapungan ini akan dikekalkan kerana kita tidak boleh ubah, (atas sebab) ia harga minyak mentah dunia adalah luar kawalan kerajaan. “Ia (harga) masih jauh daripada harga pernah kita tengok dan pada masa ini masih boleh dikawal iaitu RM2.31 seliter,” katanya. Menurut beliau, kerajaan juga tidak dapat berbuat apa-apa terhadap kenaikan harga minyak mentah sekarang kerana harga ditentukan pasaran dunia. - BERNAMA