suria

Papan Iklan Terbalik: “Saya Ada Pelan B”

Salah satu papan iklan yang dipasang terbalik di lebuh raya. Foto Facebook Syukor Majid

PETALING JAYA: Papan iklan yang dipasang terbalik di beberapa lebuh raya di negara ini sehingga ia menjadi tular terus mendapat perhatian netizen. 

Rata-rata menyifatkan iklan tersebut sebagai strategi pemasaran malah menganggap produknya sekadar 'biasa-biasa' lalu digunakan cara sebegitu untuk ‘memancing’ orang ramai supaya melihatnya.

Bercakap kepada mStar Online, Pengarah Urusan Bot Industries International Sdn Bhd, Syukor Majid, 29, mengakui bahawa ia sengaja dipasang terbalik sebagai strategi pemasaran berikutan lambakan papan iklan di lebuh raya.

Katanya, setakat ini terdapat 22 'papan iklan terbalik' bagi produk minuman tambahan untuk penjagaan kulit supaya lebih cerah dipasang di beberapa lebuh raya di Lembah Klang, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Perak secara berperingkat sejak minggu lalu.

"Terdapat banyak papan iklan di lebuh raya. Jadi, saya perlu mencari idea supaya orang perasan dengan (iklan) kita. 

"Apa yang saya buat adalah dengan menterbalikkan iklan tu saja. Mungkin nampak biasa, tapi (iklan terbalik) dah kira idea lainlah tu untuk mencuri perhatian,” katanya mengenai idea tersebut yang dilakukan secara spontan.

Gambar perlu diterbalikkan untuk melihat papan iklan yang sebenar.

Sejak Isnin, tular mengenai papan iklan yang memaparkan seorang lelaki berbaju Melayu dan bersongkok sambil memegang produk berkenaan dipasang dalam keadaan terbalik.

ARTIKEL BERKAITAN: Teleng Kepala Di Lebuh Raya?

Pada mulanya ramai yang menyangka ia adalah kesilapan pada pemasangan iklan berkenaan, tetapi iklan terbalik itu turut dilihat di beberapa lebuh raya lain.

Syukor berkata, papan iklannya yang terbalik sehingga menjadi tular secara tidak langsung membantu memasarkan produk berkenaan yang baru sebulan di pasaran.

Mengenai persoalan netizen bahawa ia boleh menyebabkan kemalangan, beliau menjelaskan bahawa pendekatan itu sebenarnya membuatkan pemandu lebih ‘buka mata’ di lebuh raya dan memberi lebih tumpuan ketika memandu.

Pemasangan papan iklan secara terbalik menimbulkan tanda tanya.

Menurut Syukor, terdapat persediaan terhadap sebarang kemungkinan sekiranya diarahkan pihak berkuasa supaya menurunkan papan iklan tersebut.

“Saya dah siapkan jentera jika perlu pasang semula papan iklan berkenaan. Saya juga sudah menyediakan kos tambahan untuk pemasangan semula.

“Saya perlu akur kalau ada arahan pihak berkuasa. Jadi, saya dah ada pelan B untuk siap sedia pasang semula iklan tersebut dengan kedudukan yang betul. Pusingkan saja,” katanya.

Bagaimanapun kata Syukor, idea pelik tersebut telah membantu mempromosikan produknya sehingga menjadi tular dalam masa singkat.

“Setidak-tidaknya dalam masa sebulan ini, produk saya dah terkenal,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain