BEKERJA dalam bidang aviasi ini, terdapat satu perasaan hitam yang menghantui hati. Perasaan ini selalunya tidak mengganggu aktiviti harian, tetapi jauh dari sudut hati, kau tahu ia ada di sebalik tembok memerhati. Perasaan ini lebih tebal renungannya apabila kau memegang jawatan mekanik atau jurutera. Kerana jika berlaku sebarang insiden, dua pihak ini akan dipersoal dahulu. Bekerja dalam bidang ini memerlukan sifat teliti dan kesedaran awas yang tinggi. Bukan satu atau dua kesilapan teknikal yang berlaku, banyak. Dan jika ia berlaku pasti melibatkan ratusan nyawa. Sebab itu, jika kau bekerja dalam industri ini di bawah naungan pengurusan yang tidak biasa atau bukan dari di dalam bidang ini, kau akan menemui seribu satu masalah. Masalah selain pertikaian gaji yang berpatutan dengan risiko yang dihadapi, ialah bekerja malam. Ini isu yang paling biasa ditemui. Pihak pengurusan memanglah boleh melaksanakan atau mengarahkan supaya wujudnya syif malam, tetapi yang menanggung bebannya ialah pekerja. Sudah sifat semula jadi manusia itu dicipta untuk tidur di waktu malam, bukannya bekerja. Tetapi jika sudah menjadi kewajipan untuk bekerja malam, tugasan yang diberikan sepatutnya bersesuian dengan kehendak fizikal manusia. Ini bukan apa, untuk mengelak dari segala kesilapan dari segi faktor manusia. Dan faktor inilah paling banyak memberi impak kepada insiden yang tidak diingini nanti. Kau pernah dengar kisah juruterbang tercampak keluar dari pesawat? Insiden ini terjadi pada 1990 melibatkan pesawat udara British Airways. Juruterbang tercampak keluar separuh badan pada ketinggian 17,000 kaki selepas cermin hadapan kokpit pecah. Sebab? Skru yang dipasang pada cermin hadapan itu bukan skrunya yang betul. Mekanik yang memasangnya melakukan tugasnya pada waktu malam dan kemudian didesak supaya menyelesaikan tugasannya dengan cepat. “Iqbal, pemeriksaan enjin nombor dua,” arah ketua mekanik kepada aku sambil menyerahkan kad tugas. Aku menghela nafas. Bukan tidak suka. Sedikit gentar. Selalunya begitulah. Bab enjin ini agak kaget sikit. Jika tidak berhati-hati atau bekerja cincai-boncai masalah di kemudian hari boleh buat aku tidak tidur lena. Apabila bekerja di bahagian enjin, wajib dua orang. Ini bagi memastikan tidak ada sebarang bahagian tidak diperiksa. Jika seorang sudah periksa, lebih baik seorang lagi memeriksanya untuk kali kedua. Kerana kau mungkin boleh terlepas pandang sesuatu. Perasaan hitam tadi pun mula bangkit dari lena, mengekori setiap langkah, gerakan tangan dan mata ketika melakukan tugas. Disebabkan aku dalam golongan Avionics atau B2, kerja aku lebih banyak kepada wayar eletrik yang berselirat di keliling enjin dan juga pengesan (sensor) haba. Kalau diikutkan memang tidak sesusah mana, tetapi berdasarkan pengalaman, di beberapa tempat akan terdapat kerosakan kepada wayar. Jika ini dijumpai, maka perlu pula melihat tahap kerosakan. Jika teruk benar, maka ia perlu ditukar. Jika ia masih baik dan kau yakin ia begitu maka tindakan pencegahan perlu di ambil dengan membalutnya dengan pita eletrik, yang selalunya kami panggil pita merah. Keseluruhan wayar yang memenuhi enjin sudah siap dibalut dengan jaket luaran. Dan jaket luaran inilah yang menjadi benteng pertama untuk melindungi wayar di dalam. Disebabkan kedudukannya di bahagian enjin, faktor kepanasan dan lelehan minyak menjadi penyebab utama jaket luaran itu rosak. “Oi! Untunglah, kerja kat enjin!” jerit sesorang dari belakang. Aku menoleh, melihat Melvin menjuih bibir sambil memegang kad tugas dan berjalan terus tanpa henti. Tak dapat aku nak sapa. Nampak sangat dapat kerja yang tak seronok. Sama ada itu, atau diganding dengan pekerja yang tak bagus. Nasiblah Melvin, dah nama pun cari makan.