suria

Enam Beranak Tinggal Dalam Rumah Tanpa Bilik

Rosmaini bersama anaknya duduk di tangga rumahnya dan mengharapkan permohonan PPRT diluluskan. - Sinar Harian

TOK DERPAH: Enam beranak di Kampung Tok Derpah meminta pihak berkenaan meluluskan permohonan mereka untuk mendapatkan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Wan Rosmaini Wan Yaakub, 31, berkata, kini rumah mereka tiada bilik dan semua ahli keluarganya tidur di ruang tamu.

Menurutnya, sebelum ini, mereka juga tidur beralaskan lantai berlubang dan air hujan kerana tidak mampu membaiki rumah.

“Mujurlah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung ini bantu baiki rumah kami, jika tak sampai sekarang kami terpaksa tinggal dalam rumah yang usang.

“Namun saya harap, permohonan rumah PPRT diluluskan segera kerana saya tak sanggup nak bebankan semua pihak,” katanya.

Rosmaini berkata, berbekalkan gaji suami, Syukri Abd Rahman, 37, sebagai buruh, dia tidak mampu membaiki rumah yang dibina atas tanah bapanya itu.

Ini kerana katanya, dia perlu menyediakan kemudahan untuk empat anaknya yang masih bersekolah termasuk seorang kurang upaya, Muhammad Afiq Syazwan, 8.

“Saya sudah mohon kad OKU Julai lalu untuk anak tapi belum siap, mungkin masih dalam proses lagi.

“Saya hanya sedar anak kedua dari empat beradik ini sukar bercakap dan ada masalah dalam pembelajaran selepas diberitahu guru ketika belajar di tahun satu,” katanya.

Selepas diperiksa Rosmaini berkata, anaknya terpaksa bergantung pada ubat dan perlu menjalani beberapa pemeriksaan lanjut di hospital. - Sinar Harian

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tiga Beranak Dibunuh Kejam

Artikel Lain