KUCHING: Sarawak menjadi negeri pertama di negara ini yang melaksanakan sistem dompet elektronik (e-dompet) sekaligus membolehkan rakyat Sarawak membuat bayaran tanpa tunai untuk bil utiliti dan kadar taksiran menggunakan aplikasi Sarawak Pay. Aplikasi itu membolehkan bayaran dibuat menerusi e-dompet, kad kredit atau secara atas talian yang menjadi inisiatif ekonomi digital negeri tersebut. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak perlu mengadaptasi teknologi digital agar dapat membuat transformasi ekonomi ke arah mencapai status membangun menjelang 2030. "Dalam tempoh 13 tahun, kita boleh menjangkakan suasana akan terus berubah. Kita tidak boleh ketinggalan di belakang. "E-dompet akan menjadi bentuk bayaran baharu, jadi Sarawak Pay dilancarkan untuk memperkenalkan teknologi dalam transaksi perniagaan," katanya pada majlis pelancaran aplikasi tersebut di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini pada Rabu. E-dompet Sarawak Pay dilesenkan di bawah Dompet Pembayaran Galaksi dan ditadbir oleh Bank Negara.