suria

JHL Serbu Restoran Eksotik

Gambar hiasan.

SANDAKAN: Jabatan Hidupan Liar (JHL) menyerbu sebuah restoran di Kampung Wonod, Telupid yang menghidangkan makanan eksotik hidupan liar tanpa permit.

Dalam serbuan kira-kira 1.45 tengah hari Isnin, anggota JHL Sandakan menemukan serta merampas tulang dan daging yang disyaki kucing hutan, musang, labi-labi, rusa dan babi hutan dengan berat keseluruhan 30 kilogram.

Pegawai Hidupan Liar Sandakan Hussein Muin berkata pemilik restoran iaitu seorang wanita berusia 57 tahun turut ditahan, namun dibebaskan kemudian dengan jaminan polis.

Serbuan itu dilakukan susulan aduan dan maklumat orang ramai, katanya pada Selasa.

Beliau berkata serbuan dibuat menurut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 iaitu menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak berurus niaga dengan semua hasil haiwan tanpa kebenaran sah JHL.

Mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda antara RM30,000 hingga RM100,000 atau penjara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya.- Bernama

makanan, eksotik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain