KUALA LUMPUR: Seorang wanita warganegara China ditikam lelaki Malaysia yang diajak ke rumahnya untuk mengadakan hubungan seks. Penganggur berusia 21 tahun itu, Didi Khairul Salleh Abuzar, mengeluarkan pisau dan berniat untuk merompak Wu Keying, 49 tahun. Mangsa menjerit meminta pertolongan sebelum ditikam di bahagian perut dan lengan. Setelah mangsa pengsan, Didi cuba melarikan diri namun gagal kerana pintu berkunci. Sewaktu polis tiba pada pukul 6.35 pagi, Didi dan mangsa masih lagi berada dalam rumah berkenaan. Mahkamah semalam menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas Didi dan turut diarahkan supaya dikenakan sebatan. Mangsa diserang di sebuah unit di Bangunan Wisma Indah, Wangsa Maju pada pukul 6.15 pagi, 30 September lalu. Didi mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu pada 4 Oktober. Dia tidak diwakili peguam dan merayu diberi hukuman ringan. "Saya perlu menjaga ibu saya yang sakit, saya minta peluang kedua. Saya bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini," kata Didi. DPP Kamarul Aris Kamalluddin meminta mahkamah memberi hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan Didi adalah serius. "Mangsa cedera di perut setelah ditikam, tangannya juga cedera. "Mahkamah juga perlu mengambil kira kepentingan orang ramai. Tertuduh telah melakukakan sesuatu yang serius," ujar Kamarul. Hakim Rohatul Akmar Abdullah mengarahkan hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditahan.