suria

Tiba-tiba Kerusi, Meja Bergoyang

ANGIN begitu lembut bertiup mendinginkan penduduk Doha. Memang biasanya begitulah.

Kalau boleh digambarkan dengan sesuatu yang boleh dilihat, angin yang bertiup itu seakan-akan sebuah kenderaan yang bergerak selaju 14km/j saja.

Doha menjanjikan waktu sejuk selama tiga hingga empat bulan setahun.

Suhu sekarang serendah 27 darjah Celsius. Memang mendamaikan.

Tetapi dalam keadaan begitulah berita malang pula menyusup segenap bumi timur tengah.

Tiga negara - Iran, Iraq dan Kuwait - dilanda gempa bumi. Semoga mereka di sana tabah menghadapi dugaan.

Aku di rumah, tidak kemana-mana sepanjang empat hari cuti kerja.

Pada malam cuti yang ketiga, hanya aku dan Harith di rumah.

Seawal jam 9 malam Harith sudah mengundur diri ke kamar. Maklumlah dia akan bekerja esok pagi dan perlu bangun sekitar pukul 3 pagi.



Tinggal aku sendirian di ruang tamu melayari internet. Keadaan malam yang tenang dengan lagu-lagu klasik rock dan pop memenuhi ruang tamu.

Minda mengembara mengimbau pelbagai nostalgia sambil jari-jemari ligat menguliti tetikus melayari alam maya.

Tiba-tiba monitor komputer aku bergoyang-goyang menghentikan segala lamunan. Seserentak itu kerusi yang aku duduki seakan-akan bergegar dan sekali gus menggoncang tubuh aku.

Dah kenapa? 

Aku panik. Aku bangun dan meluru ke tingkap. Langsir aku singkap dan mata aku tertancap ke arah luar yang gelap. Lampu-lampu jalan dan bangunan terang menghiasi malam. Aku memegang cermin tingkap dan terasa sedikit getaran.

Keadaan di luar seperti tiada apa. Jadi, apakah perkara yang aku rasa tadi? Hati berdebar-debar cuba menduga keadaan. Perlukah aku kejutkan Harith? Terasa berat pula hati mengganggu tidur dia.

Akhirnya aku berkeputusan untuk membiarkan sahaja. Mungkin aku berfantasi bukan-bukan kerana mengantuk.



"Aku nak kejutkan kau semalam," kata aku membuka bicara dengan Harith seusai makan malam.

"Kenapa ek?," tanya Harith.

"Entah. Semalam tiba-tiba aku terasa ada gegeran. Monitor aku bergegar, kerusi dan tingkap rumah ini pun sama," jelas aku.

"Uiks? Ye ke?"

Aku sekadar mengangguk.

"Oh, aku tahu kenapa. Ada gempa bumilah kat Kuwait semalam. Aku baru baca berita pagi tadi," jelas Harith.

"Wow. Teruk ke?"

"Teruk juga, tak sangka sampai sini rasa gegar," akui Harith.

Dengan magnitud sekitar 7.3 lebih 500 orang penduduk terkorban dan hampir 1,500 lagi tercedera.

Gegarannya menurut Al-Jazeera boleh dirasi dari Kuwait sehingga Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Israel dan Lubnan.

Walaupun pernah terbaca tentang aktiviti gempa bumi di timur tengah suatu waktu dahulu, tidak pernah terlintas ia akan berlaku sewaktu aku berada di Doha.

Ini pertama kali sepanjang tiga tahun aku berada di sini merasai gegeran tersebut.

Aku ingatkan pengalamam meredah ribut pasir sudah lebih menakutkan dan ajaib. Tapi nampaknya ada lagi yang lebih mengejutkan.

"Ada gegaran ek? Aku dah tidur dah masa tu."

Itu jawapan lazim bila aku tanyakan perihal kejadian ini di hangar di hari pertama kerja. Rata-rata semua memberi jawapan yang sama.

Nampak sangat aku seorang yang tak dapat tidur. Apa pun, diharap semua urusan di tiga negara tersebut dipermudahkan.

Doha, gempa bumi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain