PETALING JAYA: Niat ikhlas seorang ibu kepada lapan cahaya mata berkongsi luahan rasa tentang seorang murid yang didakwanya tidak dapat mengambil keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Murid lelaki tahun enam itu didakwa ditemui oleh wanita berkenaan dalam keadaan sedang menangis kerana slip keputusan UPSR miliknya terpaksa ditahan gara-gara belum menjelaskan 'yuran' kepada pihak sekolah. Simpati dengan murid berkenaan, wanita itu kemudian menawarkan bantuan untuk membayar 'yuran' yang dimaksudkan sebelum mengetahui jumlah sebenar bayaran yang perlu dijelaskan iaitu RM249. Bagaimanapun, posting mengenai kisah itu yang dimuat naiknya di laman Facebook menimbulkan kekecohan apabila terdapat netizen yang mempersoalkan kesahihan cerita berkenaan kerana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah memansuhkan yuran sekolah di seluruh negara. Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Dzul Faa itu, ketika dihubungi mStar Online percaya timbul salah faham apabila dia menggunakan perkataan 'yuran' dalam postingnya yang telah tular itu. Bagaimanapun katanya, dia tidak menyalahkan sesiapa dan menerima seadanya komen positif atau berbentuk kecaman daripada netizen. Komen netizen yang meminta penjelasan lanjut mengenai 'yuran' yang dimaksudkan Dzul Faa. Netizen turut mendakwa Dzul Faa sengaja memuat naik 'posting' tersebut untuk mendapatkan publisiti murahan. "Saya menulis perkataan 'yuran' itu dalam bentuk dialog antara saya dan anak kedua saya mengenai masalah murid itu yang tidak dapat mengambil keputusan UPSR. "Bagi kanak-kanak, segala bayaran yang perlu dibuat kepada pihak sekolah akan dipanggil yuran," katanya kepada dihubungi, Ahad. Jelas Dzul Faa, dia sendiri telah menyatakan bahawa bayaran tersebut adalah 'bayaran tertunggak' yang akhirnya dapat dijelaskan dengan bantuan daripada seorang sahabatnya. Dia juga meminta agar semua pihak berhenti menyalahkan pihak sekolah mahupun guru-guru kerana faham pihak sekolah pasti mempunyai sebab dan alasan tertentu apabila menahan keputusan murid berkenaan. "Saya tidak meneliti apakah butiran terperinci ke atas bayaran tertunggak yang dibuat. Ini kerana saya pernah membayar pelbagai bayaran kepada pihak sekolah bagi hal-hal yang membabitkan akademik. "Mungkin tindakan pihak sekolah bersebab dan saya langsung tidak ingin mempertikaikannya kerana mustahil seorang guru mahu menganiayai murid-murid dengan sengaja," ujarnya yang pada ketika itu hanya mahu mendapatkan slip keputusan murid tersebut dengan segera. Wanita tersebut juga enggan mendedahkan nama sekolah berkenaan kerana mendakwa niatnya bukan untuk menunding jari terhadap mana-mana pihak. Dzul Faa turut menafikan dakwaan netizen bahawa postingnya itu hanyalah satu rekaan dan menyifatkan gaya penulisannya dipengaruhi oleh novel-novel di pasaran. "Saya ada lapan orang anak yang perlu diuruskan, sudah tentu tidak ada masa untuk membaca novel. "Apa yang ditulis itu adalah spontan," katanya. 'Posting' yang dimuat naik oleh Dzul Faa tular di Facebook pada Jumaat lalu. Susulan posting tular ini, KPM juga telah mengeluarkan kenyataan menafikan mengenakan sebarang yuran untuk mendapatkan keputusan peperiksaan sekolah rendah di laman Facebooknya, awal pagi Ahad.