RANTAU PANJANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang menafikan buaya berkeliaran sekitar kediaman akibat kenaikan paras air Sungai Golok, pada Isnin. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Adni Ibrahim berkata, setakat ini pihaknya belum menerima maklumat mengenai perkara itu. Menurutnya, kesahihannya berita itu juga tidak sapat dipastikan kerana tiada sumber atau saksi tampil bagi mengesahkan kehadiran amfibia berkenaan. “Kita harap jika benar buaya berkeliaran di Sungai Golok, kita harap penduduk melaporkan perkara berkenaan dengan pihak berkuasa,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut menafikan berlaku banjir besar sehingga menyebabkan kereta penduduk mengalami kerosakan teruk. Ini kerana katanya, keadaan masih terkawal malah penduduk mempunyai banyak masa untuk bersiap sedia di samping menyelamatkan harta benda, ternakan dan kenderaan ke tempat selamat. Semalam, tular gambar buaya berada dekat kediaman penduduk selepas Sungai Golok melimpah ke paras bahaya. Gambar kereta berwarna putih turut tular di laman sosial menyebabkan penduduk panik terutama anak-anak di perantauan.- Sinar Harian