suria

Rampasan RM13.5 Juta: Seorang Lagi Ditahan

Mustafar ketika sidang media mengenai rampasan duit lebih RM13 juta di sebuah hotel dan rumah pada Selasa.

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan berhubung penemuan wang tunai RM13.5 juta dalam serbuan di sebuah hotel di sini baru-baru ini yang disyaki membabitkan sindiket pelacuran.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, suspek wanita berusia 46 tahun itu ditahan oleh pasukan khas kira-kira 12 tengah hari Selasa di sebuah rumah di Jalan Kompleks Api-Api di sini, iaitu lokasi sebahagian wang tunai itu ditemui.

“Wanita berkenaan merupakan isteri seorang daripada yang dipercayai dalang utama dalam kes penemuan wang jutaan ringgit berkenaan. Dengan penahanan itu, seramai empat orang dalang telah ditahan kini,” katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Dalam serbuan ‘Op Gegar' di sebuah hotel di Kota Kinabalu Jumaat lepas, Imigresen telah menahan beberapa individu dan menjumpai wang tunai lebih RM11 juta di situ.

Hasil siasatan lanjut menemukan lebih RM1.1 juta lagi di pangsapuri milik seorang daripada yang ditahan, tidak jauh dari lokasi serbuan berkenaan.

Seramai 17 individu yang ditahan dalam operasi itu adalah wanita warga Filipina berusia lingkungan belasan tahun hingga 30-an, dipercayai mangsa sindiket pelacuran yang didalangi tiga lelaki.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata siasatan lanjut mendapati hotel yang diserbu Jumaat lepas itu telah beroperasi sejak 1999.

"Siasatan juga mendapati antara wang tunai yang dirampas bertarikh pada 2008...namun siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca dari mana wang itu diperoleh.               

"Selain Akta Imigresen 1959/63, kes turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan semua aspek disiasat dengan teliti tanpa membuat sebarang andaian. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan